Remaja 14 Tahun Menyamar Doktor Didapati Guna Kad Pengenalan Palsu, Pandai Berlakon Jadi Pegawai Pediatrik
Gadis terbabit juga nyaris memasuki dewan bedah dan mahu menjadi pembantu doktor pakar bedah, namun dihalau selepas staf lain sangsi dengannya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (8 Ogos), negara dikejutkan dengan berita seorang gadis berusia 14 tahun telah menyamar sebagai seorang doktor di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang.
Remaja licik itu dilaporkan telah ‘bertugas’ di hospital awam berkenaan selama seminggu sebelum penyamarannya itu terbongkar dan dia berjaya ditahan.
Remaja menyamar doktor guna kad pengenalan palsu
Terbaharu, siasatan awal yang dilakukan ke atas remaja perempuan berkenaan mendapati gadis itu menggunakan kad pengenalan palsu.
Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi satu kenyataan semalam (8 Ogos) menyatakan kes ini masih dalam siasatan dan pihaknya akan memberi kerjasama penuh untuk membantu polis.
“Pada 7 Ogos 2024, pihak pengurusan HSIS, Serdang telah menerima laporan mengenai tingkah laku mencurigakan seorang individu yang menyamar sebagai kakitangan yang bertugas di HSIS.
“Tindakan pantas pihak HSIS telah berjaya mengesan identiti individu terbabit dan laporan polis telah dilakukan.
“Pada hari ini, 8 Ogos (Khamis), pihak polis telah berjaya menahan individu terbabit,” katanya dipetik Sinar Harian.
Dah menyamar jadi doktor selama 2 bulan di HSIS?
Sementara itu, menerusi laporan Kosmo yang memetik sumber pula mendakwa remaja itu dilaporkan telah menyamar sebagai doktor selama kira-kira dua bulan tanpa disedari petugas lain.
Gadis itu dikatakan mempunyai pas kerja dan mampu mengakses komputer selain turut membuat rondaan di wad-wad hospital berkenaan.
Pandai berlakon jadi doktor pediatrik, siap rawat dan beri ubat kepada pesakit
Menurut sumber itu lagi, sepanjang dua bulan dia berada di HSIS, dia pandai berlakon sebagai pegawai perubatan pediatrik dengan merawat pesakit dan memberi ubat-ubatan.
Katanya, remaja terbabit memasuki HSIS kononnya datang dari hospital kerajaan berhampiran bagi melengkapkan syarat untuk menjadi seorang doktor pakar.
“Selasa lalu, dia minta untuk memasuki dewan bedah dan mahu menjadi pembantu doktor pakar bedah.
“Jadi apabila dia masuk, kakitangan lain sangsi dengan kehadiran remaja terbabit dan menghalaunya keluar dan panggil pengawal keselamatan untuk kepung remaja itu,” kata sumber kepada Kosmo.
Doktor palsu itu bagaimanapun berjaya melarikan diri, namun dia datang semula ke HSIS pada kelmarin (7 Ogos).
Gadis menyamar doktor akhirnya kantoi lepas buat aduan palsu
Kegiatan gadis itu akhirnya terbongkar selepas dia membuat aduan di bahagian keselamatan dan kesihatan pekerjaan hospital kononnya telah menjadi mangsa gangguan seksual.
Siasatan mendapati aduan tersebut adalah palsu dan pengadu pula dikesan telah menyamar sebagai doktor selepas pemeriksaan mendapati identitinya tiada dalam senarai kakitangan HSIS.
Polis nafi remaja tipu jadi doktor, hanya menyamar sebagai staf hospital
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan dilakukan selepas menerima laporan yang dibuat di Balai Datuk Abu Bakar Baginda, Kajang.
Menurut Wan Kamarul, remaja itu telah ditahan di Balai Polis Datuk Abdul Razak Baginda. Beliau bagaimanapun menafikan remaja itu menyamar sebagai pegawai perubatan di hospital berkenaan.
“Kami ada terima laporan, kejadian baru lagi dan suspek menyamar sebagai staf hospital bukan sebagai doktor,” ujarnya.
Baca Artikel Berkaitan: Remaja 14 Tahun Menyamar Jadi Staf Petugas Kesihatan Di Hospital Serdang