Wanita Kesunyian Berusia 40 Tahun Ke Atas Mudah Jadi Mangsa ‘Love Scam’ – Polis
Menurut Pegawai Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, suspek biasanya akan menarik perhatian mangsa kononnya bekerja sebagai golongan profesional seperti juruterbang, peniaga, tentera atau jurutera minyak dan gas.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada masa kini, banyak kes yang melibatkan penipuan wang atau scam di internet. Antara penipuan yang paling popular adalah love scam.
Walaupun telah banyak kes yang dilaporkan melibatkan penipuan seperti ini namun masih ada lagi individu tidak kira lelaki atau perempuan yang menjadi mangsa.
Wanita Umur 40 Tahun Yang Kesunyian Antara Yang Mudah Jadi Mangsa
Menurut Pegawai Unit Risikan dan Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Perak, Asisten Superintendan Mohamad Mahathir Abdullah Sapawi, wanita berusia 40 tahun ke atas yang kesunyian mudah menjadi mangsa scammer kerana cenderung untuk melayani individu tidak dikenali.
“Mangsa love scam biasanya terdiri daripada golongan wanita berusia 40 tahun ke atas kerana rata-rata mereka di usia begini mempunyai wang.
“Bukan itu sahaja, wanita yang menjadi mangsa terdiri daripada golongan profesional seperti doktor, pensyarah dan lain-lain,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
Scammer Kononnya Kerja Bidang Profesional
Tambah Mahathir, suspek biasanya akan menarik mangsa kononnya bekerja sebagai golongan profesional seperti juruterbang, peniaga, tentera atau jurutera minyak dan gas. Detik perkenalan pula lazimnya akan berlaku menerusi platform media sosial.
“Suspek akan menggunakan ayat-ayat manis sehingga mangsa jatuh cinta dalam masa tiga bulan. Paling cepat, sebulan sahaja mangsa akan diperdaya.
“Suspek kemudian memperdaya mangsa dengan alasan seperti mahu memberi hadiah, pelaburan perniagaan, wasiat dan bayaran bil hospital,” katanya.
Polis Tidak Dapat Beri Jaminan Wang Akan Dikembalikan
Kata Mahathir lagi, pihaknya tidak dapat memberi jaminan wang mangsa akan dikembalikan ekoran identiti suspek sukar untuk dikenal pasti.
“Akaun bank yang digunakan juga adalah milik keldai akaun. Keldai akaun akan disoal siasat namun identiti scammer tidak dapat dikenal pasti kerana mereka (keldai akaun) juga menjadi mangsa (scammer),” jelasnya.
Sekadar info, Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) telah menerima sebanyak 37,002 panggilan daripada mangsa penipuan scammer dengan jumlah kerugian dianggarkan RM203.3 juta sehingga Mei 2024 yang lalu.
Memetik laman web Majlis Keselamatan Negara (MKN), pada tahun 2023, sebanyak 81 kes yang dilapor melibatkan love scam dengan kerugian berjumlah RM2.6 juta.
Semak Kesahihan Nombor Akaun Sebelum Menyerahkan Wang
Orang ramai sekali lagi diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika menyerahkan wang kepada individu yang tidak dikenali.
Antara salah satu cara adalah dengan membuat semakan kesahihan nombor akaun menerusi Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersial di sini.
Baca Artikel Berkaitan: Baru Berkenalan 3 Hari Di Facebook, Lelaki Diugut Sebar Video Bogel Oleh Kenalan Wanita
Baca Artikel Berkaitan: Jenis-Jenis Scam Di Malaysia Yang Anda Patut Tahu