“Pacer Bergerak Perlahan, Saya Dihimpit” – Azizulhasni Perjelas Punca ‘Disqualified’ & Tersingkir
Jelas Azizulhasni, halangan dan himpitan yang dilakukan oleh pelumba Perancis secara agresif menyebabkan dia terpaksa bergerak kehadapan untuk mengelak.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Malam semalam (10 Ogos), seluruh rakyat Malaysia dikejutkan apabila penyertaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang dibatalkan (Disqualified) di saringan pertama acara keirin Olimpik Paris 2024.
Azizulhasni atau lebih dikenali sebagai ‘The Pocket Rocket Man’ itu disingkirkan selepas didapati memotong derny (motosikal bertindak sebagai pacer) sebelum ia meninggalkan trek di Velodrom Saint Quentin itu.
Rayuannya untuk menerusikan perlumbaan menerusi pusingan ‘repechage’ kemudiannya ditolak, namun seluruh rakyat Malaysia terus memberikan kata-kata semangat walaupun Azizulhasni sudahpun tersingkir.
Terbaharu, Azizulhasni menerusi satu hantaran di akaun Instagram miliknya hari ini (11 Ogos) tampil memberi penjelasan berhubung insiden terbabit.
Rancangan maju awal ke depan hasil perbincangan dengan jurulatih
Ujarnya, rancangan untuk terus mara kehadapan bagi mendapatkan kedudukan paling hadapan adalah hasil perbincangan bersalah jurulatihnya John Beasley selepas beliau dan rakan sepasukan, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mendapat posisi keenam (terakhir) dalam ‘heat’ masing-masing.
“Ini adalah kerana ada beberapa pelumba front runner (senko) berada dihadapan. Jika pelumba hadapan terus memecut awal, ianya akan meletakkan saya di situasi sukar untuk bergerak kehadapan pada kelajuan tinggi berdasarkan beberapa pelumba yang berada dihadapan saya.
“Akan ada kebarangkalian halangan dan penjarakan dari beberapa pelumba hadapan jika saya menggunakan taktik menunggu. Jadi saya harus memilih taktik terbaik untuk meningkatkan ‘possibility’ untuk menang, dan bergerak awal ini juga saya ada lakukan ketika pusingan awal di Olimpik Tokyo dahulu.
“Berbaki satu pusingan sebelum pacer keluar saya sudah bergerak kehadapan secara perlahan-lahan dari belakang, ini sama ketika saya lakukan di perlumbaan Asian Championships di Kuala Lumpur dahulu juga.
“Perancangannya adalah untuk bergerak kehadapan dan berada di sebelah luar pelumba pertama atau kedua dan selepas pacer keluar saya akan terus memecut untuk merebut kedudukan posisi paling hadapan (pertama),” katanya.
Dihalang dan dihimpit dengan agresif oleh pelumba Perancis
Menurutnya, bagaimanapun ketika melepasi selekoh ketiga dan sebelum memasuki selekoh keempat, beliau telah dihalang dan dihimpit oleh pelumba Perancis.
Jelasnya, himpitan yang disifatkannya ‘intentionally aggressive’ itu menyebabkan beliau hampir terjatuh, namun terselamat kerana responnya yang pantas selain mempunyai kemahiran kawalan yang baik.
“Tidak cukup dengan itu beliau masih mengekori rapat di sebelah dan masih cuba memberikan himpitan kedua dan didalam keadaan seperti itu reaksi saya adalah bergerak kehadapan untuk mengelak dari beliau,” katanya lagi.
Pacer bergerak lebih perlahan berbanding kelajuan sebenar
Menurutnya lagi, sebagai seorang pelumba keirin yang profesional, beliau tahu kelajuan untuk pacer sebelum keluar kebiasaannya di pusingan terakhir adalah sekitar 50 hingga 55 Kilometer perjam (Km/j), namun ketika kejadian derny bergerak lebih perlahan berbanding kelajuan sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh keempat.
“Saya yang tengah bergolak dengan pelumba France itu perasan pacer masih belum memecut keluar , terkejut, dan cuba ‘back pedal’ sebagai cara untuk ‘breaking’ akan tetapi malangnya tak sempat untuk memperlahankan kelajuan seperti yang diinginkan.
“Berdasarkan undang-undang perlumbaan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong pacer sebelum pacer keluar di ‘pursuit line’ iaitu line halus di tengah front stretch (bukannya starting line).
“Adakah tayar belakang saya memotong pacer sebelum pacer keluar? Jawapan saya adalah ya akan tetapi ianya adalah tidak sengaja dan juga ianya adalah disebabkan oleh dua keadaan iaitu pertama menghalang dan himpitan berterusan dari pelumba France dan keduanya adalah kerana pacer bergerak pada kelajuan hanya 40-45km/j dan tidak pada kelajuan sepatutnya dan tidak memecut keluar seperti kebiasaan,” ujarnya.
Telah berunding, tetapi pihak Komisar kekal dengan keputusan sama
Katanya, susulan itu, Beasley dan Pengurus Pasukan, Izham Mohammad telah bertemu dengan panel Komisar sejurus kejadian bagi memberi penjelasan tentang apa yang berlaku dan menilai semula video perlumbaan, tetapi mereka kekal dengan keputusan yang sama untuk menyingkirkannya.
“Ada tak keadaan di mana pelumba melakukan kesalahan terang secara sengaja atau tidak sengaja yang menyalahi undang-undang perlumbaan tetapi tidak dikenakan kesalahan atau diberikan peluang oleh panel komisar? Jawapannya ada. Boleh rujuk perlumbaan semi-final sprint antara pelumba Great Britain dan Holland dan juga perlumbaan quarterfinal antara pelumba Great Britain dan Jepun.
“Keadaan juga mengingatkan saya kembali kepada perlumbaan keirin final di Olimpik Rio 2016 di mana perlumbaan harus diberhentikan sebanyak dua kali dan dimulakan kembali tanpa seorang pun pelumba dikeluarkan dari perlumbaan.
“Sukan lumba basikal track memang keputusan mutlak daripada panel komisar. Walaupun suatu ketika dahulu jurulatih dan pasukan boleh membawa hujah dan video untuk di review kembali akan tetapi sampai pada suatu ketika semuanya diubah sepenuhnya,” kata Azizulhasni.
Di akhir perkongsian, beliau meminta seluruh rakyat Malaysia untuk memberi sokongan kepada Shah Firdaus yang telah mara ke peringat suku akhir dan menggalas tanggungjawab serta harapan baharu untuk membawa pulang pingat emas.
Akur dengan keputusan ketua komisar dan UCI, akan beri sokongan kepada Azizulhasni
Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, Datuk Hamidin Mohd Amin, akur kepada ketua komisar dan wakil Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) yang mengekalkan keputusan menyingkirkan Azizulhasni.
Ujar Hamidin, seluruh delegasi kontinjen Malaysia juga menerima keputusan itu dengan berat hati meskipun rayuan sudah dibuat.
“Pada masa yang sama pihak Institut Sukan Negara (ISN), juga akan menyediakan perkhimatan sokongan kepada Dato’ Mohd Azizulhasni dalam berdepan dengan situasi yang sukar ini,” kata Hamidin.