Exco Selangor Sahkan Tauliah Mengajar Ustaz Don Ditarik
Penarikan tauliah mengajar terhadap Ustaz Don Daniyal itu turut disahkan oleh Exco MAIS, Dr. Mohammad Fahmi Ngah menerusi WhatsApp.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 4 Ogos lalu, media melaporkan pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengeluarkan keputusan rasmi berkaitan status mengajar penceramah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.
Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof juga memaklumkan pihak jawatankuasa tauliah mungkin sedang meneliti maklumat yang diterima dan juga mendapatkan pandangan dari ahli-ahli jawatankuasa tauliah berkenaan.
Oleh itu satu keputusan rasmi akan dibuat oleh JAIS namun tidak pasti bila ia akan diumumkan.
Selangor tarik tauliah mengajar Ustaz Don
Terbaharu, MAIS memaklumkan Selangor telah bertindak menarik tauliah mengajar pendakwah bebas berkenaan bermula 24 Julai yang lepas.
Perkara itu turut disahkan oleh Exco MAIS, Dr. Mohammad Fahmi Ngah selepas surat edaran yang dikeluarkan MAIS tular di media sosial.
“Sahih,” ujar Dr. Mohammad Fahmi Ngah menerusi satu hantaran di WhatsApp, dipetik Kosmo.
Menurut akhbar itu, sebelum ini surat edaran MAIS yang dikeluarkan pada tarikh 6 Ogos kepada masjid serta surau daerah di Selangor tular di media sosial.
Ustaz Don antara 5 pendakwah yang ditarik tauliah, berkuat kuasa 24 Julai
Menerusi surat yang tular di media sosial itu, Mesyuarat Khas Jawatankuasa Tauliah MAIS memutuskan untuk menarik semula tauliah mengajar ke atas lima orang pemegang.
Antara nama yang disenaraikan termasuklah Ustaz Don dan ia berkuat kuasa 24 Julai lepas. Berdasarkan surat itu, tauliah mengajar pendakwah berusia 41 tahun itu sepatutnya mempunyai tempoh dari 2 Julai 2020 sehingga 30 Jun 2025.
Empat lagi individu yang turut ditarik tauliahnya adalah, Mohd. Shahabudin Md. Yatim (Ustaz Syihabudin), Mohd. Udzair Mohammad Zaid, Muhammad Hairullah Hassim dan Syed Mohd. Norhisyham Tuan Padang (ustaz Syed Norhisyam).
Oleh itu, semua masjid serta surau tak dibenarkan untuk memanggil lima nama yang disenaraikan ini untuk mengajar.
Surat edaran tersebut turut dikongsikan pendakwah terkenal Ustaz Ahmad Dasuki Abdul Rani.
Baca artikel berkaitan: Masjid, Surau & Musolla Di Selangor Di Arah Tangguh Atau Tidak Undang Ustaz Don – Pengarah JAIS
Pada Jun lalu, Ustaz Don telah diminta untuk mengemukakan kenyataan bertulis kepada MAIS berhubung beberapa perkara berkaitan ceramah agama yang dilakukannya.
Ini selepas timbul beberapa isu mengenai perkongsian beliau di media massa.
Selain itu kertas siasatan juga dibuka di bawah Seksyen 7, Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995.