Padah Jadikan Jalan Ulu Yam Litar Lumba, Gang Kereta Mewah & ‘Bigbike’ Kena Tahan
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor berkata, sebanyak 40 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang dijalankan, namun tiada penahanan atau sitaan dilakukan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sikap segelintir pemandu dan penunggang motosikal yang menjadikan jalan raya di Malaysia sebagai tempat berlumba secara haram atau menguji kuasa jentera bukanlah sesuatu yang baru, bahkan ia masih berlaku sehingga hari ini.
Perkara ini harus dibendung kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna-pengguna jalan raya yang lain.
Lebih membimbangkan, sehingga berlakunya kemalangan yang meragut nyawa insan yang tidak bersalah disebabkan kecuaian dan kesalahan golongan sebegini.
Polis tahan pemandu kereta mewah dan penunggang motosikal kuasa tinggi
Susulan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Selangor telah melakukan satu operasi Ops Samseng Jalanan di Jalan Ulu Yam Bharu-Sungai Tua, Batang Kali pada semalam (11 Ogos).
Dalam operasi terbabit, pihak polis berjaya menahan segelintir pemandu kereta mewah dan penunggang motosikal berkuasa tinggi kerana menjadikan laluan jalan di kawasan berkenaan sebagai ‘litar’ untuk menguji kehebatan kenderaan mereka.
40 saman dikeluarkan pihak polis
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, sebanyak 40 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam operasi yang dijalankan pada jam 7 hingga 10 pagi itu.
Menurut Ahmad Faizal, operasi itu diadakan dengan tujuan untuk mengekang dan mencegah kesalahan lalu lintas di kawasan terbabit.
“Antara kesalahan dilakukan adalah memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi had laju, tiada lesen memandu dan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
“Bagaimanapun, tiada sitaan dan tiada pemandu ditahan dalam operasi ini,” katanya dipetik Harian Metro.
Jalan Ulu Yam Bharu-Sungai Tua jadi tempat konvoi dan uji kelajuan jentera
Menurutnya lagi, pemantauan mendapati Jalan Ulu Yam Bharu-Sungai Tua telah menjadi tumpuan konvoi pemandu dan penunggang motosikal dengan sebahagiannya membawa secara berbahaya.
“Setakat ini polis belum menerima aduan ada pihak yang berlumba namun akan melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.
“Pemandu dan penunggang motosikal diingatkan supaya bawa kenderaan dengan sebaik mungkin, patuh undang-undang lalu lintas dan jangan pentingkan diri sendiri,” katanya.
Sebagai info, segelintir warga Kuala Lumpur dan Selangor yang meminati dunia permotoran pasti akan mencuba jentera mereka di Jalan Ulu Yam itu dan menjadikan lokasi tersebut sebagai ‘track’ perlumbaan.