Remaja 14 Tahun Menyamar Jadi Doktor Rupanya Pernah Jalani Rawatan Psikiatri
Menurut Ketua Polis Selangor, perkara itu disahkan sendiri oleh keluarga remaja berkenaan ketika soal siasat baru-baru ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada minggu lalu, kecoh di media mengenai perbuatan seorang remaja berusia 14 tahun yang menyamar sebagai doktor di Hospital Sultan Idris Shah (HSIS), Serdang.
Apa yang menjadi perhatian adalah remaja perempuan itu dipercayai telah melakukan perbuatan tersebut selama seminggu dan tiada seorang pun yang menyedari kehadirannya pada ketika itu.
Difahamkan, dia berlakon sebagai Pegawai Perubatan Paediatrik dengan memberikan rawatan kepada pesakit serta ubat-ubatan.
Malah, dia juga dikatakan pernah cuba masuk ke dalam bilik bedah namun dihalau keluar kerana kehadirannya itu menimbulkan rasa curiga staf terlibat.
Baca Artikel Berkaitan: Remaja 14 Tahun Menyamar Doktor Didapati Guna Kad Pengenalan Palsu, Pandai Berlakon Jadi Pegawai Pediatrik
Tindakan licik remaja berkenaan akhirnya terbongkar setelah dia sendiri membuat aduan mengenai gangguan seksual bahagian keselamatan dan kesihatan pekerjaan hospital.
Susulan daripada itu, polis telah menahan remaja berkenaan di Balai Polis Datuk Abdul Razak Baginda selepas menerima laporan berhubung perbuatannya itu.
Remaja Pernah Dapat Rawatan Psikiatri
Terbaharu, polis mengesahkan remaja perempuan berkenaan pernah mendapat rawatan psikiatri di sebuah hospital pada Mac lalu.
Walau bagaimanapun, dia tidak menjalani rawatan susulan seterusnya menyebabkan emosi dan fikiran remaja berkenaan terganggu.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, perkara itu disahkan sendiri oleh keluarga remaja berkenaan ketika soal siasat baru-baru ini.
“Kita akan dapatkan laporan penuh (rekod rawatan psikiatri) itu daripada pihak hospital. Kami juga difahamkan, remaja itu juga sudah meninggalkan alam persekolahan,” katanya yang dipetik daripada Utusan Malaysia.
Remaja Akan Turut Dirujuk Kepada JKM
Jelas Hussein, remaja berkenaan akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapatkan perkhidmatan kaunseling sebelum kes dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
Malah, JKM juga akan memutuskan sama ada remaja itu akan ditempatkan di bawah agensi itu atau berada di bawah jagaan ibunya.
Tiada Komen Lanjut Mengenai Siasatan
Hussein bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya adakah siasatan polis menjurus kepada kecuaian pihak hospital atau pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
“Kita masih bincang dengan pihak hospital terutama bagi mengetatkan prosedur keluar masuk ke hospital itu terutama di kawasan-kawasan sensitif,” jelasnya lagi.
Terdahulu, remaja berkenaan diarah untuk dirujuk kepada pakar bagi menjalani pemeriksaan pakar psikiatri dalam masa terdekat.
Ini kerana siasatan awal mendapati dia bertindak sedemikian kerana fikirannya terganggu.
Malah, Mahkamah Majistret Sepang sebelum ini turut mengeluarkan perintah reman selama dua hari sehingga Sabtu (10 Ogos) terhadap remaja berkenaan bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Baca Artikel Berkaitan: Remaja 14 Tahun Menyamar Jadi Staf Petugas Kesihatan Di Hospital Serdang
Baca Artikel Berkaitan: Remaja 14 Tahun Menyamar Doktor Didapati Guna Kad Pengenalan Palsu, Pandai Berlakon Jadi Pegawai Pediatrik