“Kita Perlu Berpijak Di Bumi Nyata” – Olimpik Paris 2024 Dilabel Gagal, Hamidin Mohon Semua Pihak Bersikap Realistik
Menurut Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Olimpik Paris 2024, sebahagian besar atlet yang mewakili negara telah menunjukkan peningkatan dari segi rekod dan prestasi termasuk acara badminton dan angkat berat.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui Sukan Olimpik Paris 2024 sudah melabuhkan tirai pada 11 Ogos yang lalu.
Sudah pastinya aksi atlet negara yang bertanding dalam temasya sukan terbesar dunia menjadi antara perkara yang dirindui kebanyakan peminat tempatan.
Ia menjadi lebih bermakna apabila pemain perseorangan, Lee Zii Jia serta pasukan beregu Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya membawa balik pingat buat rakyat Malaysia menerusi acara badminton.
Walaupun kesemua atlet menunjukkan aksi cemerlang di temasya sukan tersebut, ada segelintir pihak yang merasakan Sukan Olimpik kali ini sebagai satu kegagalan kerana tidak mencapai sasaran pingat.
Ketua CDM Paris Minta Semua Pihak Berpijak Di Bumi Nyata
Mengulas lanjut mengenai tanggapan segelintir pihak yang merasakan kontinjen negara gagal di Sukan Olimpik Paris 2024, Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia, Datuk Hamidin Mohd Amin meminta agar semua pihak bersikap realistik.
Jelas Hamidin, sebahagian besar atlet yang mewakili Malaysia telah menunjukkan peningkatan dari segi rekod dan prestasi termasuk acara badminton dan angkat berat.
“Kita perlu berpijak di bumi nyata kerana saya bagi contoh, bagi badminton tak ada pun dalam pemain badminton kita menduduki ranking nombor satu atau dua dunia. Mereka berada di ranking nombor 12 dan sembilan tetapi mereka telah melepasi lebih daripada prestasi sebelum Olimpik.
“Jadi kita kena lihat itu semua. Kalau katakan mereka ini pemain ranking nombor satu dunia dan mereka tak dapat emas, itu lain kerana kita berusaha untuk ke arah tersebut,” katanya dipetik daripada Astro Awani.
Beri Tumpuan Kepada Sukan Yang Berpotensi Menang Emas
Hamidin yang juga merupakan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berpendapat negara seharusnya memberi tumpuan kepada sukan yang berpotensi bagi memburu emas dalam temasya Olimpik yang akan diadakan di Los Angeles pada tahun 2028.
Menjadikan negara jiran, Indonesia yang memenangi emas dalam acara memanjat tebing, beliau menegaskan agar semua pihak termasuk persatuan dan atlet membuat persiapan dari sekarang bagi memburu emas di sukan olimpik yang akan datang.
“Kalau tanya saya secara peribadi selaku CDM, semua pihak termasuk menteri mahukan pingat emas. Jadi kalau tanya saya, dendam itu membara dekat LA (Los Angeles).
“Kita kena berusaha dari sekarang kerana Olimpik ini tempat dunia atau ranking (pemain) nombor satu dunia dan pertandingan elit.
“Ia memerlukan pengorbanan, bukan hanya kerajaan atau persatuan tetapi juga atlet,” jelasnya.
Guna Pengalaman Azizul Sebagai Jurulatih
Dalam pada itu, Hamidin turut mengulas mengenai keputusan Datuk Azizulhasni Awang yang akan bersara.
Jelasnya, pengalaman jaguh berbasikal trek negara itu mungkin boleh digunakan untuk berbakti sebagai jurulatih atau penasihat.
Malah, beliau juga percaya Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan adiknya, Muhammad Ridwan Sahrom mampu meneruskan kecemerlangan Azizul dalam temasya Sukan Olimpik akan datang.
Baca Artikel Berkaitan: Tahniah! Aaron Chia & Soh Wooi Yik Rai
Baca Artikel Berkaitan: “Apa Salah Saya Buat?” – Lee Zii Jia Sebak, Teringat Momen Sebelum Menang Pingat Gangsa Di Olimpik Paris