Lelaki Catat Lebih Banyak Kematian Berbanding Wanita Pada Q2 2024 – DOSM
Sebelum ini, statistik yang dikeluarkan oleh DOSM menunjukkan penyakit jantung iskemik menjadi sebab utama kematian bagi golongan lelaki manakala pneumonia bagi golongan wanita.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sudah menjadi lumrah alam, setiap yang hidup pasti akan berakhir dengan kematian. Namun, segalanya bergantung kepada ketentuan Allah dalam menentukan takdir hidup manusia.
Ada individu yang dikurniakan umur yang panjang, ada juga yang hanya sempat merasakan nikmat hidup di dunia dalam tempoh yang singkat.
Oleh sebab itu, setiap orang perlu sentiasa bersyukur dan menikmati kehidupan yang dikurniakan ini kerana kita tidak akan tahu bila saatnya ajal akan menjemput.
Lelaki Lebih Ramai Mati Berbanding Wanita
Apabila bercakap tentang kematian, berdasarkan Statistik Perangkaan Demografi Suku Kedua (Q2) Tahun 2024 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), golongan lelaki mencatatkan kematian lebih banyak berbanding golongan wanita.
Menurut Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin, sebanyak 27,510 kematian golongan lelaki direkodkan berbanding wanita yang hanya mencatatkan 20,950 kematian.
“Sebanyak 48,460 kematian telah direkodkan pada suku tahun kedua 2024, penurunan sebanyak 5.4% berbanding suku tahun kedua 2023 iaitu 51,234 kematian.
“Nisbah jantina bagi kematian ialah 131 lelaki bagi setiap 100 perempuan,” katanya.
DOSM sebelum ini pernah mengeluarkan statistik sebab kematian di Malaysia pada tahun 2023. Hasil penemuan itu menunjukkan penyakit jantung iskemik menjadi sebab utama kematian golongan lelaki manakala pneumonia bagi golongan wanita.
Selangor Catat Kematian Tertinggi, Putrajaya Terendah
Tambah Mohd Uzir, Selangor mencatatkan kematian tertinggi dengan 7,459 kematian, diikuti Johor (6,205 kematian) dan Perak (5,087 kematian).
Manakala, jumlah kematian yang paling rendah direkodkan adalah di Wilayah Persekutuan Putrajaya dengan bilangan kematian sebanyak 65.
Kumpulan Umur 60 Tahun Catat Kumpulan Kematian Paling Tinggi
Data tersebut turut menunjukkan kumpulan umur 60 tahun mencatatkan statistik tertinggi dengan bilangan kematian sebanyak 34,043.
Manakala, golongan umur 0-14 tahun merupakan kumpulan yang mencatatkan statistik kematian terendah dengan bilangan kematian 1,027.
Bagi kumpulan umur 41 hingga 59 tahun dan 15 hingga 40 tahun, masing-masing mencatatkan jumlah kematian 9,072 serta 3,688.
Pun begitu, setiap kumpulan umur menunjukkan penurunan jumlah kematian berbanding suku tahun 2023.
“Secara purata, satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 538 kematian sehari pada suku tahun kedua 2024,” katanya.
Melayu Merupakan Kumpulan Etnik Catat Kematian Tertinggi
Statistik tersebut turut menunjukkan kaum Melayu mencatatkan bilangan kematian paling tinggi iaitu 22,540 (52.7%) diikuti Cina sebanyak 12,611 (26.0%) dan kumpulan Bumiputera lain dengan bilangan kematian sebanyak 5,120 (10.5%).
Namun, bilangan kematian bagi etnik Cina dan India menunjukkan penurunan berbanding suku kedua tahun lalu dengan masing-masing turun kepada 26.0% dan 8.1%.
KENYATAAN MEDIA DOSM: PERANGKAAN DEMOGRAFI MALAYSIA, SUKU TAHUN KEDUA 2024 DOSM MEDIA STATEMENT: DEMOGRAPHIC STATISTICS…
Posted by Department of Statistics, Malaysia on Monday 12 August 2024
Baca Artikel Berkaitan: Kadar Gaji Pekerja Wanita Di Malaysia Rendah Berbanding Pekerja Lelaki
Baca Artikel Berkaitan: Pekerja Di Kuala Lumpur Terima Purata Gaji Sebulan Paling Tinggi, Kelantan Terendah Di Malaysia