fbpx
Now Reading
Syarikat Kurier Tidak Akan Buat Panggilan Minta Pelanggan Pindahkan Wang – Polis

Syarikat Kurier Tidak Akan Buat Panggilan Minta Pelanggan Pindahkan Wang – Polis

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, sebanyak 535 kes dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM30 juta direkodkan daripada tahun 2022 hingga Julai 2024 membabitkan kes penyamaran sebagai pegawai Pos Laju.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Belakangan ini, sering kali kedengaran kes melibatkan sindiket penipuan wang atau scammer.

Kebiasaannya, ia melibatkan penipuan secara dalam talian melalui pelaburan tidak wujud atau love scam. Kini muncul pelbagai lagi taktik baharu yang dilakukan oleh penjenayah ini bagi menipu mangsa.

Antara yang terbaharu adalah seperti menggunakan teknologi terkini kecerdasan buatan (AI), menyamar sebagai pihak berkuasa atau melakukan perkara biasa yang dilakukan oleh orang awam seperti menghantar pautan penipuan melalui kad jemputan kahwin.

Bukan itu sahaja, ada juga penjenayah yang tampil dengan taktik terkini iaitu menyamar sebagai syarikat kurier dan meminta pelanggan membuat pindahan wang.

Syarikat Kurier Tidak Akan Telefon Pelanggan Minta Pindahkan Wang

Susulan daripada itu, polis menasihatkan agar orang ramai tidak terpedaya dengan taktik penipuan terbaharu scammer.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf, syarikat kurier tidak akan membuat panggilan kepada pelanggan dan meminta bayaran bagi mendapatkan barang yang sedang dalam pemeriksaan.

Jika Ada Barang Terlarang, Kurier Akan Report Polis

Jelasnya, sekiranya barang pelanggan itu merupakan barang terlarang, syarikat kurier berkenaan perlu membuat laporan polis.

“Kalau ada pun barang terlarang dalam bungkusan, syarikat kurier berkenaan perlu membuat laporan, bukan menelefon pelanggan untuk memberi amaran dan kemudian ada pula pegawai polis memberi nasihat supaya bayar, ia tidak begitu.

“Jika betul kita membawa barang terlarang, maka kita ialah suspek dan suspek tidak akan diberitahu seperti itu,” katanya yang dipetik daripada Berita Harian.

535 Kes Melibatkan Kes Penyamaran Pos Laju

Pada masa yang sama, Ramli mendedahkan sebanyak 9,422 kes penipuan telekomunikasi atau ‘phone scam’ direkodkan sepanjang tempoh 2021 hingga Julai 2024 dengan jumlah kerugian mencecah sehingga RM505.44 juta.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 535 kes dengan jumlah kerugian dianggarkan sebanyak RM30 juta direkodkan daripada tahun 2022 hingga Julai 2024 membabitkan kes penyamaran sebagai pegawai Pos Laju.

“Angka itu adalah mesej jelas bahawa penipuan ini perlu diberikan perhatian serius dan orang ramai harus memanfaatkan teknologi untuk melindungi diri dalam persekitaran siber yang sentiasa berevolusi,” katanya.

Guru Rugi RM258,060 Kerana Scammer Menyamar Sebagai Syarikat Kurier

Terdahulu, seorang guru mengalami kerugian sebanyak RM258,060 akibat ditipu scammer yang menyamar sebagai kakitangan sebuah syarikat kurier.

Mangsa dihubungi oleh individu tidak dikenali yang mendakwa bungkusan barang yang dipos atas nama mangsa mengandungi kad pengenalan dan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang menyalahi undang-undang.

Mangsa kemudiannya disambungkan ke talian lain iaitu kepada pihak yang menyamar sebagai anggota polis.

Anggota polis berkenaan pula mendakwa mangsa terlibat dengan kes penggubahan wang haram dan penjualan akaun bank.

Susulan daripada itu, suspek meminta agar mangsa membuat laporan polis secara dalam talian dan guru terbabit juga diminta untuk mengosongkan akaun bank dengan membuat pindahan wang kepada akaun bank lain yang diberikan.

Malah, scammer terbabit turut memberi jaminan wang mangsa akan dipulangkan sebaik sahaja siasatan selesai dibuat.

Mangsa kemudiannya bertindak memindahkan wang ke beberapa akaun bank berlainan yang diberikan suspek dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM258,060.

Baca Artikel Berkaitan: Wanita Kerugian RM31,638 Akibat Tertipu Dengan Scammer Hantar Saman Trafik PDRM RM50

Baca Artikel Berkaitan: Polis JSJK Kongsi Cara Elak Ditipu ‘Scammer’ Hantar Kad Kahwin Digital [Video]

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.