Hannah Yeoh Mohon Maaf, Belum Dapat Bawa Pulang Pingat Emas Buat Malaysia
Menurut Menteri Belia dan Sukan, meskipun pingat emas tidak berjaya dijelmakan, namun atlet negara menunjukkan prestasi yang baik dengan tiga rekod kebangsaan dipecahkan dalam temasya sukan pada kali ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui Malaysia memburu pingat emas untuk dibawa pulang dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagi merealisasikan impian tersebut, dapat dilihat atlet negara dalam setiap acara yang dipertandingkan berjuang dan memberi komitmen sehabis baik bagi merealisasikan hasrat itu.
Harapan tersebut bagaimanapun tidak dapat dicapai. Namun, kontinjen negara tetap membanggakan Malaysia dengan membawa pulang dua pingat gangsa menerusi sukan badminton.
Tidak Berjaya Bawa Pulang Emas Bukan Satu Kegagalan
Susulan daripada itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana tidak berjaya membawa pulang pingat emas dalam Sukan Olimpik Paris 2024.
Walau bagaimanapun, menurut Hannah, ia bukanlah disifatkan sebagai satu kegagalan.
Sebaliknya, program Road To Gold (RTG) yang diwujudkan pada tahun lepas merupakan satu projek jangka panjang dalam memburu pingat emas melibatkan dua kitaran iaitu Paris 2024 dan Los Angeles 2028.
Tegas Hannah, meskipun pingat emas tidak berjaya dijelmakan, namun atlet negara menunjukkan prestasi yang baik dengan tiga rekod kebangsaan dipecahkan dalam temasya sukan pada kali ini.
“Saya, bagi pihak kontinjen negara, memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana kami belum dapat membawa pulang pingat emas Olimpik untuk Malaysia.
“Seperti yang diumumkan sebelum ini, RTG adalah untuk dua kitaran Olimpik yang merangkumi Paris 2024 dan Los Angeles 2028. Apa yang kami lihat, terdapat peningkatan prestasi daripada atlet RTG.
“Di Paris, kita dapat melihat tiga rekod kebangsaan telah dipecahkan oleh Azizulhasni,Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri, dan Aniq Kasdan (angkat berat), sementara Shah Firdaus Sahrom dalam berbasikal dan Syaqiera (Mashayikh) dalam memanah memecahkan rekod peribadi mereka,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
Akan Bermesyuarat Bagi Olimpik Paris 2024
Tambah Ahli Parlimen Segambut itu lagi, pihaknya akan bermesyuarat dan kesemua laporan termasuklah laporan audit mengenai RTG akan dibentangkan di Parlimen.
“Jawatankuasa RTG akan mengadakan mesyuarat dan mendapatkan laporan teknikal dari setiap pasukan dari Olimpik Paris. Kami sedang menyediakan akaun yang akan diaudit dan dibentangkan di Parlimen.”
“Kami akan menjawab isu akaun, kami telah menggunakan dana dengan telus. Semua permintaan dari pemegang taruh iaitu dari jurulatih dan atlet RTG telah kita tunaikan sebelum mereka berlepas ke Olimpik Paris,” katanya.
Sekadar info, program RTG merupakan satu inisiatif yang diterbitkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi memburu pingat emas di Sukan Olimpik.
Program yang diwujudkan pada Mac 2023 bertujuan bagi menyelaras usaha dalam meralisasikan hasrat Malaysia untuk memenangi emas pertama temasya tersebut.
Terdapat 10 atlet yang disenaraikan di bawah RTG antaranya seperti Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Pearly Tan, M Thinaah, Chen Tang Jie, Toh Ee Wei, Bertrand Rhodict Lises dan Mohamad Aniq Kasdan.
Baca Artikel Berkaitan: RTG Singkirkan Pandelela & Nur Dhabitah Selepas Gagal Mara Ke Sukan Olimpik Paris 2024
Baca Artikel Berkaitan: Tahniah! Aaron Chia & Soh Wooi Yik Raih Pingat Gangsa Tumpaskan Jaguh Beregu Indonesia
Baca Artikel Berkaitan: “Apa Salah Saya Buat?” – Lee Zii Jia Sebak, Teringat Momen Sebelum Menang Pingat Gangsa Di Olimpik Paris