Ibu Bapa Tipu Umur Anak Untuk Daftarkan Akaun Media Sosial Adalah Satu Kesalahan – Presiden MCCA
Menurut Siraj Jalil, penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak ini sememangnya di bawah Dasar Keluarga Negara, namun ia tetap menjadi tanggungjawab besar ibu bapa.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada zaman ini, media sosial sudah menjadi sebuah platform untuk orang ramai melakukan apa sahaja seperti meluahkan perasaan hati, berkongsi kehidupan, mempromosikan perniagaan dan sebagainya.
Ini jelas berbeza berbanding dahulu, platform media sosial hanya digunakan untuk berkongsi gambar atau video-video sebagai kenangan dan tatapan buat ahli keluarga, kenalan rapat dan orang lain.
Apa yang lebih membimbangkan, media sosial kini turut digunakan oleh golongan kanak-kanak di bawah umur tanpa pengawasan orang dewasa, malah ada juga ibu bapa yang membantu mendaftarkan akaun media sosial anaknya.
Ibu bapa daftar akaun media sosial anak dengan menipu umur adalah satu kesalahan
Bagaimanapun, perbuatan segelintir ibu bapa yang mendaftar akaun media sosial anak di bawah umur 13 tahun dengan menipu usia adalah satu kesalahan.
Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, perkara ini merupakan cabaran besar untuk kerajaan dalam melindungi kanak-kanak daripada berdaftar menggunakan platform media sosial.
“Satu cabaran paling besar oleh kerajaan adalah perkara yang telah dinormalisikan kalangan kanak-kanak bawah 13 tahun bukan hanya mereka bahkan ibu bapa itu sendiri.
“Berapa ramai ibu bapa yang ciptakan akaun media sosial untuk anak-anak sedangkan garis panduan komuniti standard mana-mana penyedia sosial media telah menghadkan di bawah 12 tahun adalah tidak dibenarkan.
“Maksudnya ada perbuatan menipu umur anak untuk mendaftar platform media sosial. Ini adalah kesalahan yang patut diletakkan di bahu ibu bapa bukan kepada pihak kerajaan,” katanya dipetik Sinar Harian semalam (13 Ogos).
Tanggungjawab ibu bapa untuk kawal anak-anak bawah umur daripada media sosial
Menurutnya, penggunaan media sosial dalam kalangan kanak-kanak ini sememangnya di bawah Dasar Keluarga Negara, namun ia tetap menjadi tanggungjawab besar ibu bapa.
Katanya, secara tidak langsung kawalan dalam rumah itu sendiri agak sukar tetapi dengan adanya tetapan undang-undang, ia akan mencipta kesedaran dalam kelompok ibu bapa.
Menurutnya lagi, kerajaan hari ini juga secara jelas mempunyai matlamat untuk menjamin keselamatan rakyat dalam negara dari media sosial.
“Aspirasi membentuk kawal selia platform media sosial itu sangat berat dan tidak semua negara mampu melaksanakannya,” katanya.