Mantan Mufti Negeri Sembilan, Mohd Yusof Meninggal Dunia
Menurut menantu Allahyarham, Danial Farhan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Maqam Tuan Haji Mohd Said, Sikamat, Seremban
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Malam tadi (13 Ogos), Malaysia telah dikejutkan dengan berita pemergian Bekas Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof yang dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Taman Marida, Senawang, Negeri Sembilan.
Allahyarham yang berusia 79 tahun sebelum ini memegang jawatan sebagai mufti di negeri terbabit pada 1 April 2009 sehingga 2023 dan telah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 7.43 malam.
Dilaporkan menghidap kanser hati dan terima rawatan di HUKM
Memetik Sinar Harian menurut menantu beliau yang merupakan Imam Masjid Negeri, Danial Farhan Domat Allahyarham menghidap kanser hati dan mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.
Allahyarham dilaporkan meninggal dunia dalam keadaan koma.
“Allahyarham koma pada jam 3.30 pagi tadi (13 Ogos) ketika menerima rawatan di hospital dan meninggal dunia dalam keadaan koma. Allahyarham meninggal dalam keadaan tenang dan mudah,” ujarnya.
Jenazah dikebumikan pada pagi ini
Memetik Berita Harian, jenazah dimandi, dikafankan, dan disembahyangkan di Masjid Kariah Taman Marida pada malam tadi dan hari ini (14 Ogos) akan dibawa ke Masjid Negeri untuk solat jenazah kali kedua.
Jenazah juga dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Maqam Tuan Haji Mohd Said, Sikamat pada pagi ini (14 Ogos).
Jabatan Mufti Negeri Sembilan ucap takziah
Dalam pada itu, berita pemergian Allahyarham turut dikongsikan oleh Jabatan Mufti Negeri Sembilan di Facebook rasmi dengan ucapan takziah.
“Negeri sembilan berduka. Kehilang seorang permata ummah yang tiada galang gantinya. Terasa hiba dan pilu, seakan terputus sebuan untaian ilmu yang tak ternilai harganya.
“Beliau yang selama ini menjadi tempat kita menadah hikmah dan panduan, telah kmbali kepada Sang pencipta. Namun warisan ilmu dan amalnya tetap segar dalam ingatan,” ujarnya dalam hantaran itu.
Selain itu, mereka turut berdoa agar Allah melimpahkan rahmat dan kasih sayang-Nya ke atas roh arwah dan mengangkat darjatnya di sisi para solihin serta mengurniakan ketabahan kepada semua yang masih hidup.
Ruangan komen hantaran tersebut juga dihujani dengan ucapan takziah dan doa-doa dari orang ramai buat Mantan Mufti Negeri Sembilan itu.
Menurut Berita Harian, berikut adalah beberapa info mengenai pendidikan dan perjalanan kerjaya Allahyarham Mohd Yusof:
- Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Nuri, Air Mawang, Johol Negeri Sembilan pada tahun 1952 sehingga 1957.
- Meneruskan ke peringkat menegah di Sekolah Pertukangan Kayu Nuri (1958), Sekolah Ugama Menengah Rendah Johol (1959-1961), Sekolah Ugama Menengah Tinggi Istana Lama Sri Menanti (1962-1963) dan Sekolah Ugama Menengah Tinggi Seremban (1964-1965).
- Mendapat Sijil Tinggi di Kolej Islam Malaya Petaling Jaya pada 1966 dan menyambung ke peringkat Diploma Pendidikan pada 1969 di tempat belajar yang sama.
- Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran pada 1970 ke Universiti Al-Azhar, Kaherah dan memeroleh Sarjana Muda Usuludin (Tafsir & Hadith) pada 1972 dan Sarjana Syariah dalam jurusan Fiqah Perbandingan.
- Beliau kemudiannya menjadi guru bahasa Arab di Sekolah Ugama Menengah Tinggi Seremban dan seterusnya dilantik menjadi Guru Penolong Kanan di SMK Ugama Seremban.
- Selain itu, Mohd Yusof juga pernah menjadi pengetua di beberapa sekolah antarany SMK Agama Seremban (1980-1985), Sekolah Menengah Agama Wilayah Persekutuan (Oktober 1985-April 1987), SM Agama Persekutuan Labu (SMAPL), Seremban (1987-November 1988). Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sharifah Rodziah, Melaka (SMKA) (1988-Februari 1989), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Haji Mohd Said, Seremban (SHAMS) (Mac 1989-1997) dan Maktab Perguruan Islam Bangi, Selangor (MPI) (1998–Februari 2000).
- Menjadi Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan, Ahli Majlis Agama Islam Negeri Sembilam, Ketua Panel Penterjemahan dan Penyunting Kitab Fiqh-Manhaji, Ketua Panel Penyunting Kitab ‘Aqidah Islamiyah’ dan Jawatankuasa Rukyah Hilal Ramadan, Syawal dan Zulhijjah.
- Pada 1 April 2009, Allahyarham telah dilantik menjadi Mufti Keempat Kerajaan Negeri Sembilan.