fbpx

Mayat Di Jambatan Sungai Klang Sah Nidza Afham

Terdahulu, penyanyi itu dilaporkan hilang sekitar jam 11.53 malam semalam selepas keluar beriadah di Stadium Klang.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan mayat lelaki yang ditemui di kawasan jambatan Sungai Klang ialah penyanyi Muhammad Nidza Afham Mokhtar.

Katanya mayat ditemukan sekitar jam 7 petang hari ini (14 Ogos) kira-kira satu kilometer dari lokasi lelaki itu dilaporkan hilang.

Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang untuk proses selanjutnya.

Mayat Ditemui Dengan Pakaian Sama Dirakam CCTV

“Mayat ditemui kira-kira jam 7 petang. Dipercayai adalah penyanyi yang dilaporkan hilang semalam (Nidza Afham),” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mangsa dilihat kali terakhir memakai baju jersi berwarna hitam bernombor 56 dengan nama ‘Apam’ semasa dilaporkan hilang.

Mayat tersebut ditemukan dalam keadaan memakai jersi berwarna gelap bernombor 56, menyerupai rakaman CCTV yang tersebar dipercayai Nidza berjalan di sekitar kawasan Masjid India Muslim Tengku Kelana, Klang.

Hilang Setelah Keluar Beriadah Di Stadium Klang

Terdahulu, Nidza dilaporkan hilang setelah keluar beriadah di Stadium Klang sekitar 11.53 malam semalam (13 Ogos).

Kakaknya, Nur Irfahanie berkata telefon bimbit dan dompet milik Nidza telah ditemui di atas jambatan Sungai Klang.

Difahamkan lokasi terakhir keberadaan lelaki berusia 23 tahun itu adalah di Jambatan Kota yang terletak berdekatan Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).

Sehubungan itu, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Klang kira-kira 4 pagi semalam.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor kemudiannya mengesahkan penemuan satu mayat lelaki dewasa di sekitar Jambatan Sungai Klang pada petang tadi.

Baca Artikel Berkaitan: Penyanyi, Nidza Afham Dilaporkan Hilang Selepas Keluar Pergi Joging Di Klang

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.