Semalam (13 Ogos), pihak polis telah menahan seorang paderi lelaki dipercayai melakukan gangguan seksual fizikal ke atas remaja berusia 13 tahun.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada mangsa pada jam 10 malam kelmarin (12 Ogos).
Mangsa diganggu secara seksual fizikal sejak bulan Jun dan Julai
Menurutnya, mangsa yang merupakan remaja lelaki warga tempatan itu telah diganggu secara seksual fizikal sejak bulan Jun dan Julai lalu.
“Remaja tersebut melaporkan dia telah diganggu oleh seorang lelaki yang bekerja sebagai paderi sejak Jun lalu.
“Mangsa diganggu secara seksual fizikal di dalam bilik tidur di sebuah gereja di Bandar Bukit Puchong, dekat sini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini (14 Ogos).
Suspek ditahan di sebuah restoran, permohonan reman akan dibuat
Menurutnya lagi selepas siasatan dijalankan, pihak polis berjaya menahan suspek yang berusia 27 tahun itu di sebuah restoran di Puchong, Selangor pada hari yang sama laporan diterima.
Jelasnya, permohonan reman akan dibuat ke atas suspek bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.
Wan Azlan berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Polis minta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil
Berkongsi lanjut, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes terbabit untuk menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di talian 03-78627222 atau hadir di mana-mana balai polis berdekatan.
“Pihak polis menasihatkan orang ramai agar tidak terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang,” ujarnya.