Polis Sahkan Pemain Bola Sepak Acu Kerambit Adalah Suspek Sama Baling Bom Petrol Di Pusat Hiburan
Menurut Ketua Polis KL, Datuk Rusdi Mohd Isa pemain bola sepak amatur yang berusia 22 tahun itu akan dituduh atas kedua-dua kesalahan di Mahkamah Kuala Lumpur pada 16 Ogos ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini, tular di media sosial satu hantaran mendakwa seorang pemain bola sepak amatur telah membawa senjata tajam di dalam padang.
Senjata tajam itu dipercayai merupakan sebilah kerambit yang dibawa dalam satu perlawanan bola sepak.
Susulan itu pada 8 Ogos, pihak polis telah menahan pemain bola sepak amatur yang dipercayai terlibat dengan insiden perselisihan semasa perlawan bola sepak di KLFA Foiotball Centre.
“Hasil siasatan, suspek mengaku mengeluarkan senjata tajan iaitu kerambit bagi mempertahankan diri dalam kejadian itu,” katanya, lapor Harian Metro.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Baca artikel berkaitan: Polis Buru Pemain Bola Sepak Dipercayai Bawa Senjata Tajam Dalam Padang
Polis sahkan pemain bola sepak adalah suspek yang sama baling molotov cocktail di pusat hiburan di KL
Terbaharu, polis mengesahkan bahawa pemain bola yang ditahan itu merupakan suspek yang sama membaling molotov (bom petrol) di sebuah pusat hiburan di Kuala Lumpur sekitar Mei yang lalu.
Memetik laporan BuletinTV3, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa memaklumkan suspek yang berusia 22 tahun berkenaan bakal dituduh di Mahkamah Kuala Lumpur esok (16 Ogos) atas kedua-dua kesalahan.
“Dia ini ada ‘wanted’ (dalam senarai dikehendaki) satu kes, kes baling molotov cocktail di depan pusat hiburan. Inilah orangnya.
“(Suspek) ini pun ada dituduh di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan, suspek orang sama,” jelasnya.
Kenal pasti suspek terlibat melalui siasatan rakaman percakapan saksi, rakaman CCTV & proses pengecaman
Kata beliau lagi, pihak polis telah mengenal pasti pemain bola berkenaan terbabit dalam dua kes berkenaan menerusi siasatan, rakaman percakapan saksi, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan proses pengecaman.
“Suspek ada dua rekod jenayah lampau,” ujarnya lagi.
Tambahnya lagi, bagi kes mengacukan objek tajam, pemain bola sepak itu didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Bahaya 1958 serta pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan kerana perbuatan membahayakan nyawa dan keselamatan diri orang lain.
Sebelum ini, pada 9 Mei lalu, tular satu video CCTV di media sosial memaparkan kebakaran yang berlaku di sebuah pusat hiburan di Jalan Yap Kwan Seng, Kuala Lumpur.
Menerusi rakaman itu dipercayai insiden kebakaran berkenaan berlaku kira-kira jam 2.18 pagi.
Baca artikel berkaitan: Pusat Hiburan Di KL Terbakar Dibaling ‘Molotov Cocktail’, Polis Buka Kertas Siasatan