“Saya Ingat Orang Malaysia Baik-Baik”-Shah Firdaus Dedah Nakano Terkejut Media Sosial ‘Diserang’ Netizen
Menurut Shah Firdaus, Nakano telah menghantar mesej kepadanya memaklumkan media sosialnya telah ‘diserang’ segelintir rakyat Malaysia sehingga mempunyai ribuan komen.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Meskipun Sukan Olimpik Paris 2024 sudah melabuhkan tirai, namun bahangnya masih lagi terasa dan menjadi bualan ramai khususnya acara keirin yang menampilkan Datuk Azizulhasni Awang dan juga Muhammad Shah Firdaus Sahrom.
Shah Firdaus yang menjadi harapan selepas Azizulhasni disingkirkan bagaimanapun terlepas peluang memenangi pingat apabila terlibat dalam kemalangan dengan atlet Jepun, Shinji Nakano.
Perkara itu secara tidak langsung telah membuatkan segelintir rakyat Malaysia telah bertindak ‘menyerang’ akaun atlet Jepun berkenaan dan meluahkan ketidakpuasan hati mereka.
Nakano sangka rakyat Malaysia baik-baik
Ekoran dari itu, tular di TikTok luahan dari sebuah akaun yang menyamar sebagai Nakano memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana telah menjadi punca Shah Firdaus tidak memenangi sebarang pingat.
Malah terbaharu, tindakan itu secara tidak langsung telah menimbulkan persoalan kepada Nakano kerana dia sebelum ini menganggap rakyat Malaysia mempunyai sikap yang baik.
Malah dia turut menghantar pesanan mesej kepada Shah Firdaus berhubung isu tersebut.
“Saya ingat orang Malaysia baik-baik,” kata Nakano, dipetik Harian Metro.
Shah sifatkan ia tindakan yang memalukan, sahkan akaun TikTok mohon maaf adalah palsu
Susulan itu, Shah Firdaus menyifatkan tindakan segelintir rakyat Malaysia yang melakukan hal tersebut adalah sesuatu yang memalukan, selain mengatakan beliau dan Nakano merupakan sahabat.
Shah Firdaus juga memaklumkan permohonan maaf yang kononnya dibuat oleh Nakano di TikTok adalah palsu.
“Malam semalam dia mesej saya dan katanya dia kena serang di akaun media sosialnya. Bila saya tengok sudah berpuluh komen.
“Saya harap netizen berhenti menyerang dia di akaun media sosialnya kerana ia menjejaskan kami juga,” ujarnya, dipetik Harian Metro.
Tak ada masalah dengan Nakano, Shah Firdaus rasa serba salah gara-gara tindakan netizen ‘serang’ atlet Jepun
Jelas Shah Firdaus lagi, atlet Jepun itu sememangnya ada membuat permohonan maaf namun kepadanya.
“Itu bukan TikTok dia (Nakano), dia cakap itu dengan saya lepas perlumbaan, akaun TikTok biasalah, orang buat cerita. Tapi saya dengan dia ok sahaja, saya dengan dia tak ada masalah.
“Yang buat saya terasa dia ingat orang Malaysia baik-baik sebab saya baik dengan dia. Kalau saya ke Jepun, dia bawa saya jalan semua. Bila dia berasa begitu, saya rasa serba salah.
“Dia mesej saya, dia ingat rakyat Malaysia baik-baik, saya macam malunya,” ucap atlet negara itu lagi.
Nakano tiada niat langgar Shah Firdaus
Shah turut menjelaskan tindakan Nakano sewaktu perlumbaan berlangsung adalah tidak disengajakan dan ia merupakan perkara biasa dalam keirin jika berlaku ‘body contact’.
“Sebenarnya dia tak ada niat nak langgar saya. Memang berlaku (pelanggaran), ada body contact dan itu biasa dalam keirin dan dia tak berniat nak ‘hentam’ saya, itu sebab G-force.
“Bila ada body contact, G-force itu nampak seperti dia naik tetapi dalam keirin perkara itu biasa, tinggal jatuh atau tidak sahaja.”