fbpx
Now Reading
Pelarasan Gaji Penjawat Awam Kumpulan Pelaksana Naik 15% & Pengurusan Tertinggi 7% – PM Anwar Ibrahim

Pelarasan Gaji Penjawat Awam Kumpulan Pelaksana Naik 15% & Pengurusan Tertinggi 7% – PM Anwar Ibrahim

Tegas Anwar, pembayaran secara berfasa dilakukan bagi mengelakkan daripada kesan inflasi terhadap pelarasan gaji baharu ini.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 1 Mei lalu, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan berita gembira buat penjawat awam di mana gaji mereka bakal diselaraskan lebih 13% bermula 1 Disember 2024.

Namun, perincian mekanisme penyelarasan gaji akan diumumkan sendiri oleh Anwar dalam Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 yang berlangsung pada hari ini (16 Ogos) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Peratus Pelarasan Gaji Berbeza Mengikut Kumpulan Pekerjaan Penyelarasan

Terbaharu, Anwar dalam ucapannya memaklumkan bahawa kenaikan gaji penjawat awam adalah mengikut kategori kumpulan pekerjaan dan ia adalah jauh lebih baik daripada apa yang telah dilaksanakan.

Jelas Anwar, bagi penjawat awam daripada kumpulan pelaksana serta pengurusan dan profesional, pelarasan gaji yang bakal diterima adalah sebanyak 15% manakala, bagi kumpulan pengurusan tertinggi, adalah 7%.

Foto: Facebook JPA

Pelarasan Dilaksanakan Secara Berfasa

Walau bagaimanapun, pelaksanaan pelarasan ini akan dilaksanakan secara berfasa iaitu fasa pertama akan dibuat pada 1 Disember 2024 dan fasa kedua pada 1 Januari 2026.

“Bagi kumpulan pelaksana dan profesional, pelarasan gaji untuk fasa satu adalah 8% manakala bagi fasa dua adalah 7%, secara umum 15%.

“Bagi kumpulan pengurusan tertinggi, fasa satu sebanyak 4%, fasa dua adalah sebanyak 3%,” katanya.

Tegas Anwar, langkah ini diambil bagi mengelakkan daripada kesan inflasi terhadap pelarasan gaji baharu ini.

“Dia banyak alasannya. Naik-naik tapi kita naik secara berfasa kerana kita tidak mahu ada tekanan inflasi. Kalau naik, kemudian inflasi naik, pendapatan sebenar akan berkurang,” ujarnya lagi.

Mohon Agar Syarikat Tidak Ambil Kesempatan

Pada masa yang sama, Anwar turut memohon mana-mana pihak agar tidak menjadikan kenaikan ini sebagai alasan untuk menaikkan harga barang.

“Saya harap juga jangan ada pada bulan Disember ini, syarikat-syarikat atau kedai-kedai yang mengambil kesempatan.

“Kerana kita naik (gaji) secara berfasa dan tidak harus memberi tekanan kos harga barang keperluan terutamanya makanan,” katanya lagi.

SSPA Ganti SSM

Pada masa yang sama, Anwar turut memaklumkan Skim Saraan Malaysia (SSM) akan digantikan dengan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Ia sebagai tanda keprihatinan kerajaan kepada pekerja sektor perkhidmatan awam.

“Walaupun gesaan saya mesti capai kemajuan tapi tahap pengorbanan (penjawat awam) ini luar biasa.

“Bukan sahaja dalam menghadapi ancaman komunis dahulu, menangani COVID-19, jangan lupa petugas barisan hadapan itu adalah penjawat awam, jadi kerajaan setuju supaya SSM digantikan dengan SSPA,” katanya.

Jelas Anwar, pelaksanaan SSPA adalah berdasarkan kepada tiga reformasi termasuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam.

“Kedua adalah untuk meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan dan ketiga adalah untuk meningkatkan daya saing negara,” ujarnya.

Baca Artikel Berkaitan:

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.