Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba semalam (14 Ogos) kecoh selepas media melaporkan seorang pembantu peribadi (PA) kepada pelakon wanita terkenal dicekup polis.
Pembantu peribadinya itu didakwa telah bertindak mencuri barangan kemas milik selebriti itu dan anak perempuannya.
Didakwa curi rantai emas milik pelakon dan anak
Menurut Harian Metro yang memetik sumber, pembantu peribadi yang juga wanita berusia 28 tahun terbabit telah ditahan di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, Selangor.
“Difahamkan kecurian berlaku pada Jun lalu selepas pelakon wanita itu menyedari rantai emas miliknya hilang.
“Bukan itu sahaja, rantai emas milik anak pelakon itu juga hilang,” ujarnya.
Alami kehilangan duit, pembantu peribadi buat laporan polis dakwa dipukul pelakon wanita
Selain barangan kemas, pelakon wanita itu juga memaklumkan mengalami kehilangan duit bernilai RM10,000.
“Pemeriksaan di rumah wanita (pembantu peribadi) terbabit di Gombak turut menemui semula barangan kemas itu.”
Menurut Harian Metro, difahamkan wanita berkenaan turut ada membuat laporan di Ibu Pejabat Daerah Gombak yang mendakwa dia dipukul oleh selebriti tersebut.
Didakwa reka cerita tentang rumah tangga pelakon sedang bermasalah
Kata sumber kepada akhbar itu lagi, punca wanita terbabit dipukul oleh selebriti berkenaan kerana dia didakwa mereka cerita mengenai rumah tangga pelakon itu sedang dilanda badai.
“Pelakon itu juga ada membuat laporan polis, semalam (14 Ogos),” jelas sumber itu lagi.