Isu Poster Pertandingan Bulan Kebangsaan Guna Gambar Askar China, Guru Sudah Mohon Maaf
JPN Pulau Pinang sedang menunggu laporan penuh berhubung isu tersebut sebelum dihantar ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada minggu lalu, kecoh di media sosial satu poster pertandingan buku skrap bertema tokoh kemerdekaan di Malaysia yang memaparkan tiga orang tentera China.
Poster pertandingan untuk kategori menengah rendah dan menengah atas itu telah mengundang perhatian ramai sekali gus mencetuskan pertikaian serta perdebatan.
Tidak hanya itu, kebanyakan orang juga meminta agar pihak terlibat membuat penjelasan serta permohonan maaf selain menggesa tindakan tegas dikenakan.
Guru hasilkan poster terbabit tampil mohon maaf selepas kecoh di media sosial
Memetik Sinar Harian, guru yang menghasilkan poster pertandingan buku skrap terbabit telah tampil memohon maaf pada hari sama foto itu tular iaitu pada Jumaat, 16 Ogos.
Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Datuk Abdul Said Hussain berkata, pihaknya bagaimana sedang menunggu laporan penuh berhubung isu tersebut sebelum dihantar ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
“Guru tersebut sudah mohon maaf atas kesilapan yang amat mengecewakan petang semalam (Jumaat) dan saya sedang tunggu laporan untuk dihantar ke Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM),” katanya kelmarin (17 Ogos).
Kesal dengan apa yang berlaku, tindakan sewajarnya akan diambil bagi elak kejadian sama berulang
Namun beliau dalam satu lagi laporan berkata, laporan awal sudah diterima dan siasatan lanjutan masih berlangsung.
“Laporan awal telah diterima daripada pihak sekolah, guru dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Seberang Perai Tengah (SPT) berhubung perkara ini dan siasatan lanjut masih dijalankan.
Tegasnya, JPN Pulau Pinang memandang serius perkara ini kerana ia telah menyingung banyak pihak.
Beliau turut memohon maaf atas kecuaian guru sekolah menengah terbabit kerana tidak peka dengan menggunakan gambar templat yang diambil daripada Internet sebagai bahan promosi untuk pertandingan berkenaan.
“Kita kesal atas kecuaian yang telah berlaku dan amat berharap semua pihak bersabar dan beri ruang kepada PPD dan JPN untuk jalankan siasatan. Tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan kejadian seumpama ini tidak berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya kepada Bernama.
Carian dapati gambar adalah stock photo yang boleh dimuat turun percuma
Semakan kami mendapati bahawa gambar tiga orang askar China yang sedang memberi tabik hormat itu boleh didapati secara percuma di laman ‘stock photo’, PNGWing.