Tanah Perkuburan Islam Di KL Hanya Mampu Tampung Jenazah 4 Hingga 6 Tahun – Menteri Agama
Dr Mohd Na’im Mokhtar, JAWI sedang membangunkan sebuah tanah perkuburan awam bersepadu khas untuk warga Wilayah Persekutuan di Semenyih.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Islam mengajarkan umatnya untuk menghormati manusia sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia.
Bagi yang tidak lagi bernyawa, Islam menuntut untuk mengebumikan mayat agar kehormatannya tetap terjaga.
Ia juga bagi memastikan agar mayat tidak dirosakkan dan bau tidak tersebar sehingga menarik perhatian binatang-binatang liar. Malahan, mengebumikan jenazah adalah salah satu fardu kifayah yang perlu ditunaikan dan tidak boleh ditinggalkan.
Bagaimanapun, kematian yang direkodkan pada setiap hari akan menyebabkan tanah perkuburan Islam di sesebuah kawasan semakin penuh.
Tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur mampu bertahan 4 hingga 6 tahun sahaja lagi
Terbaharu, tanah perkuburan Islam di Kuala Lumpur dilaporkan semakin penuh dan dijangka hanya mampu menampung pengebumian jenazah bagi tempoh empat hingga enam tahun sahaja lagi.
Memetik Malaysia Gazette, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, bagi mengatasi isu itu, pandangan termasuk fatwa baharu diperlukan.
JAWI boleh lihat cara Singapura uruskan jenazah meskipun negaranya kecil
Menurutnya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) boleh melihat pengalaman negara jiran iaitu Singapura dalam menguruskan jenazah meskipun republik itu sebuah negara yang kecil.
“Kita ada isu yang besar kawasan tanah perkuburan Islam yang terhad khususnya di kawasan bandar. Jadi sudah tentu ada kaitan bagaimana hendak selesaikan isu ini dan ia memerlukan pandangan-pandangan baharu dan mungkin fatwa yang baharu untuk diselesaikan.
“Pengalaman negara di luar terutama jiran kita Singapura iaitu negara yang kecil dan bagaimana mereka menguruskan jenazah jadi mungkin ada fatwa baharu dan ini tujuan kita ada konvensyen ini untuk mengambil iktibar dan pengalaman pengurusan bagi konteks JAWI,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Konvesyen Tranformasi Tanah Perkuburan Islam (TPI) dan Pengerusan Jenazah Tahun 2024 di Auditorium JAKIM, Kompleks Islam Putrajaya kelmarin (17 Ogos).
JAWI bangunkan tanah perkuburan awam di Semenyih
Menurutnya lagi, JAWI sedang membangunkan sebuah tanah perkuburan awam bersepadu khas untuk warga Wilayah Persekutuan di atas sebuah tanah berkeluasan 220 ekar di Semenyih, Selangor.
Jelasnya, selepas penggunaan TPI di Kuala Lumpur sudah penuh, semua jenazah dari Ibu Negara itu akan dikebumikan di Semenyih.
Menurut laman Facebook JAWI, ketika ini Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mempunyai TPI dengan keluasan keseluruhan berjumlah 71.7 hektar.
“Secara umumnya terdapat 29 buah TPI di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (18 TPI Kariah, 3 TPI DBKL, 1 di Wilayah Persekutuan Putrajaya (TPI Perbadanan Putrajaya) dan 21 di Wilayah Persekutuan Labuan (20 TPI Kariah, 1 TPIRS) dengan jumlah keseluruhan 51 buah tanah perkuburan.
“Tanah perkuburan di Wilayah Persekutuan diselenggara dan diuruskan oleh JAWI serta beberapa agensi lain seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Pengurusan Masjid Kariah.
“JAWI terlibat secara langsung dalam mengurus dan menyelaras 8 buah Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah (TPIRS) iaitu 7 di Kuala Lumpur dan 1 di Labuan,” kata JAWI.
Selain menguruskan tanah perkuburan, JAWI juga bertanggungjawab menguruskan jenazah sama ada jenazah berwaris mahupun tidak berwaris.
Bagi jenazah yang tidak berwaris dan tidak berkemampuan, JAWI menyediakan khidmat pengurusan jenazah sehingga selesai pengebumian secara percuma.