BNM Lancar National Fraud Portal, Mahu Cegah Penipuan Kewangan Di Malaysia
National Fraud Portal ini mengautomasikan proses NSRC secara keseluruhan daripada pengendalian laporan penipuan sehingga ke pengesanan dana yang dicuri.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak dahulu lagi, pelbagai taktik yang digunakan oleh sindiket penipuan atau ‘scammer’ dalam talian untuk memperdaya dan mencuri wang orang ramai di seluruh dunia termasuk Malaysia.
Selain menipu dengan taktik menang baucar, mereka juga sering membuat panggilan dengan menyamar sebagai pihak berkuasa seperti Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan juga dari pihak syarikat kurier.
Mangsa pula terdiri daripada pelbagai peringkat umur terutamanya golongan remaja dan warga emas yang mana rata-rata termakan dengan tipu helah scammer ini sehingga ada yang kerugian ratusan ribu ringgit.
BNM dengan kerjasama PayNet dan institusi kewangan lancarkan National Fraud Portal
Susulan itu, Bank Negara Malaysia (BNM) telah bekerjasama dengan Payments Network Malaysia Sdn. Bhd (PayNet) dan institusi kewangan telah melancarkan National Fraud Portal (NFP) sebagai platform bersepadu bagi memperkukuhkan keupayaan operasi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC).
Majlis pelancaran yang diadakan hari ini (20 Ogos) di bangunan ikonik Sasana Kijang, Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh Menteri Kewangan II, Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurut Amir Hamzah, usaha bersepadu, dedikasi dan kerjasama yang melibatkan sektor kewangan dan agensi penguat kuasa undang-undang ini mestilah diteruskan seiring dengan momentum yang telah kita capai selama ini.
“Memastikan masa depan digital yang selamat dan terjamin adalah penting untuk mengangkat status negara kita seperti yang dihasratkan di bawah kerangka Ekonomi Madani,” katanya.
National Fraud Portal mengautomasikan proses NSRC
NFP mengautomasikan proses NSRC secara keseluruhan daripada pengendalian laporan penipuan sehingga ke pengesanan dana yang dicuri.
Platform ini membolehkan pengesanan dan pemulihan dana secara automatik, perkongsian maklumat dan kerjasama industri yang lebih berkesan dan penilaian akaun keldai berasaskan data.
Kami turut dijemput untuk menghadiri majlis ini dan mendengar taklimat media mengenai NFP untuk memberi kesedaran kepada orang ramai agar tidak terus menjadi mangsa penipuan kewangan.
Perkenal prosedur pelapiran dan pengendalian akaun keldai
Seiring dengan pelancaran NFP ini, industri kewangan turut memperkenalkan prosedur pelaporan dan pengendalian akaun keldai, di mana ia boleh meningkatkan lagi kualiti data yang digunakan oleh industri melalui penyelarasan klasifikasi akaun keldai.
Prosedur ini juga menyeragamkan pendekatan industri dalam pengendalian akaun keldai bagi memastikan mangsa yang terjejas akibat aktiviti akaun keldai boleh terus mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan asas.
Institusi kewangan perlu pastikan mangsa penipuan dilayan dengan adil
Selain itu, BNM turut memberi arahan kepada institusi kewangan agar memastikan mangsa penipuan perbankan dalam talian dilayan dengan adil.
Arahan ini antaranya mewajibkan institusi kewangan untuk memastikan proses siasatan kes penipuan kewangan yang lebih mantap dengan keperluan ketelusan dan penzahiran yang juga diperkukuhkan.
Dasar ini juga menekankan keperluan tanggungjawab bersama dalam kes-kes yang terdapat bukti jelas berhubung dengan kelalaian pada pihak institusi kewangan dan juga kecuaian pada pihak mangsa.
Pendekatan ini memastikan bank-bank sentiasa berusaha mempertingkatkan langkah kewalan penipuan sambil mengingatkan para pelanggannya untuk terus berwaspada bagi melindungi diri mereka daripada penipuan kewangan.
Sentiasa berwaspada, hubungi talian 997 dengan segera jika anda jadi mangsa scam
Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan mengikuti halaman Facebook Amaran Scam atau laman sesawang #JanganKenaScam untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai penipuan kewangan.
Mereka yang telah menjadi mangsa penipuan kewangan perlu menghubungi institusi kewangan mereka atau NSRC melalui talian 997 dengan segera.
Dalam majlis tersebut, Amir Hamzah juga tidak ketinggalan mengadakan lawatan ke pameran Jangan Kena Scam di dalam bangunan terbabit.