Polis Tembak Mati Penjenayah Warga Asing Di Subang, Buru 10 Lagi Ahli Geng Samun [Video]
PDRM berkata, kumpulan samun bersenjata api itu terlibat dalam 45 kes yang mencatatkan kerugian sebanyak RM8 juta sejak 2018 hingga ke hari ini.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (20 Ogos) gempar di media sosial menunjukkan beberapa klip video aksi tembak menembak melibatkan beberapa orang individu di Bandar Sunway.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudiannya mengesahkan seorang penjenayah yang merupakan ahli kumpulan samun dari sebuah negara di Benua Afrika telah ditembak mati di Jalan PJS 9/1 Subang Jaya, Selangor itu.
Dalam kejadian jam 6.59 petang, lelaki berusia lewat 30-an yang memandu kereta jenis Hyundai Matrix berwarna merah diarahkan supaya berhenti oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Dua Das Tembakan Terkena Kenderaan Polis
Menurut Pengarah JSJ Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, penjenayah tersebut telah melepaskan lima das tembakan. Dua butiran peluru itu pula telah terkena pada kenderaan polis.
“Suspek yang berasal dari sebuah negara di Benua Afrika itu ditembak mati di tempat kejadian. Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.
“Kita juga menemukan sepucuk pistol jenis revolver yang digunakan penjenayah terbabit,” ujarnya.
Shooting incident at Bandar Sunway. Video taken by China students from Sunway Geo- FB Discover Subang Jaya pic.twitter.com/W6WHHVeYkx
— Elill (@Elill_E) August 20, 2024
Kumpulan Samun Terlibat 45 Kes, Mencatatkan Kerugian RM8 Juta
Tambah Mohd Shuhaily, PDRM sudah lama mengesan kumpulan samun bersenjata api tersebut kerana terlibat dalam 45 kes yang mencatatkan kerugian mencecah RM8 juta dari tahun 2018 hingga ke hari ini.
Antara modus operandi yang dijalankan oleh mereka termasuklah menawarkan transaksi seperti menjual barang kemas, pertukaran mata wang asing atau beberapa pelaburan lain di platform media sosial kepada mangsa.
“Penjenayah ini akan berjumpa dengan mangsa contohnya di hotel untuk transaksi pertama dan mengarahkan mangsa untuk naik kereta bersama, sebelum ahli kumpulan itu menyerang mangsa di jalan raya,” jelasnya.
Ahli Kumpulan Samun Dipercayai Masih Berada Di Lembah Klang
Mengulas lanjut, pihaknya kini sedang menjejaki 10 ahli kumpulan lain yang masih bebas dipercayai masih berada sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
“Kami masih menjejaki kumpulan yang aktif di sekitar Lembah Klang ini. Kita sudah maklum juga semua exit point (pintu keluar negara) akan suspek ini dan mereka mungkin tukar pasport,” kata Mohd Shuhaily, lapor Harian Metro.