“Saya Tak Pernah Hina Institusi Raja, Apa Yang Saya Sebut Hanyalah Fakta” – Muhyiddin Yassin
Menurutnya, terdapat pihak yang telah memutarbelit dan menyunting video ucapannya dengan niat untuk memfitnah beliau yang kononnya telah menghina YDPA ke-16, Al-Sultann Abdullah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini (21 Ogos) telah memberi keterangan kepada pihak polis berhubung ucapan beliau semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri baru-baru ini yang didakwa telah menyentuh isu 3R (Raja, agama dan kaum).
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, Ahli Parlimen Pagoh itu menjelaskan bahawa beliau juga memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan menjelaskan fakta-fakta berhubung ucapan itu.
Ucapan Muhyiddin tiada niat untuk hina institusi Raja
Bekas Perdana Menteri itu menyangkal tuduhan terbabit dan menyatakan bahawa ucapannya itu tidak mempunyai niat untuk menghina institusi Raja di negara ini.
“Ia adalah ucapan kempen pilihan raya di mana saya menyatakan fakta-fakta mengenai penubuhan kerajaan selepas PRU-15 (Pilihan Raya Umum ke-15) secara sepintas lalu.
“Kemudiannya menceritakan mengenai kesusahan hidup rakyat disebabkan dasar-dasar kerajaan yang menekan mereka,” katanya.
Ada pihak putarbelit dan sunting video ucapannya untuk memfitnah
Menurutnya, terdapat pihak yang telah memutarbelit dan menyunting video ucapannya dengan niat untuk memfitnah beliau yang kononnya telah menghina Yang di-Pertuan Agong ke-16 (YDPA), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan menghasut rakyat agar membenci Raja.
“Dalam kenyataan saya kepada pihak polis hari ini saya telah menjelaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar sama sekali dan berniat jahat.
“Saya hanya menyatakan fakta mengenai 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepada saya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri selepas PRU-15.
“Tidak ada sepatah perkataan pun dalam ucapan saya yang menghina Raja atau mempertikai keputusan Yang di-Pertuan Agong pada masa itu,” katanya lagi.
Serah beberapa dokumen termasuk SD 114 kepada polis untuk bantu siasatan
Menurutnya lagi, beliau juga telah menyerahkan beberapa dokumen kepada pihak polis dengan tujuan membantu siasatan.
Antara dokumen tersebut termasuklah 114 Akuan Berkanun Ahli-Ahli Dewan Rakyat yang memberikan kepercayaan kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang telah diserahkan kepada Istana Negara pada 21 November 2022, jam 1.28 petang, sebelum tempoh asal ditetapkan tamat dan satu lagi Akuan Berkanun yang diserahkan kepada Istana Negara pada 22 November 2022.
“Perkara ini pun telah berlaku hampir dua tahun yang lalu dan sepanjang tempoh itu saya tidak pernah menghasut atau mengajak rakyat untuk menghina atau membenci institusi Raja Berperlembagaan di negara ini.
“Saya juga tidak pernah menuntut untuk dilantik sebagai Perdana Menteri. Malah, pada 24 November 2022, saya telah mengeluarkan kenyataan mengucapkan tahniah kepada Perdana Menteri Ke-10.
“Apa yang saya sebut dalam ucapan saya hanyalah fakta yang menjadi sebahagian daripada rekod sejarah,” ujar Muhyiddin.
Muhyiddin harap pihak polis jalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama
Dalam pada itu, beliau berharap dengan segala penjelasan dan dokumen-dokumen yang diserahkan itu, pihak polos akan menjalankan siasatan dengan telus, adil dan saksama menurut lunas undang-undang.
Muhyiddin turut mengakui kesetiaannya kepada institusi Raja Berpelembagaan sebagai seorang rakyat biasa yang bernaung di bawah kebesaran dan kemuliaan Raja-Raja Melayu.
Selain itu, beliau turut mendedahkan isi kandungan dokumen-dokumen terbabit yang diserahkan kepada polis menerusi hantaran yang sama.
Tengku Mahkota Pahang murka dan amat terkilan dengan Muhyiddin Yassin
Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan rasa murka dan amat terkilan dengan ucapan yang diberikan oleh Muhyiddin itu yang dikatakan secara sengaja dan sinis telah memperlekehkan serta mempertikaikan tugas Ayahandanya semasa menjadi YDPA ke-16 dahulu.
Baginda juga meminta agar pihak polis mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada bekas Perdana Menteri ke-8 itu.
Titahnya, kenyataan Muhyiddin itu memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil semasa memilih Perdana Menteri ke-10.
Baca Artikel Berkaitan: