Tular Gadis Selamba Tayang Paket Dipercayai Dadah Semasa ‘Live’, Polis Panggil 3 Remaja Untuk Beri Keterangan
Pengarah JSJN berkata, pihaknya sedang menjalankan risikan dan penelitian terhadap perbualan individu-individu itu yang didakwa berkaitan dadah.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, tular di media sosial satu video yang memaparkan seorang gadis dan lelaki menayang barangan dipercayai dadah dalam satu sesi siaran langsung (live) di aplikasi TikTok.
Dalam klip rakaman terbabit, kelihatan lelaki dan gadis berkenaan sedang melakukan siaran langsung bersama dua lagi individu dipercayai rakan-rakan mereka.
Klip rakan berkenaan turut dikongsikan oleh penyanyi rap dan usahawan, Caprice di akaun Instagram miliknya sekali gus meraih perhatian ramai.
Polis teliti rakaman terbabit dan sedang jalankan siasatan
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, pihak polis sudah meneliti rakaman video berkenaan dan sedang menjalankan siasatan lanjut.
“Pada masa yang sama, salah seorang individu yang dipercayai terbabit dalam video itu juga sudah membuat laporan polis hari ini (21 Ogos) di Melaka.
“Polis akan memanggil individu lain yang terbabit untuk membantu siasatan,” katanya dipetik Harian Metro.
JSJN jalankan risikan dan penilitian terhadap perbualan mereka
Menurutnya, JSJN sedang menjalankan risikan dan penelitian terhadap perbualan mereka yang didakwa berkaitan dadah dan objek ditunjukkan semasa siaran langsung itu yang dipercayai bahan terlarang terbabit.
Sebelum ini, dalam rakaman tersebut, turut kedengaran salah seorang gadis menyebut ingin ‘batu’ yang dipercayai nama lain bagi dadah jenis methamphetamine.
Gadis terbabit berkata demikian selepas dua rakannya menunjukkan sebungkus plastik kecil dipercayai dadah dan satu botol air yang telah diubah suai disyaki menjadi ‘dapur’ atau ‘bong’ atau ‘kong’.
3 remaja dipanggil polis untuk beri keterangan
Kemaskini terbaharu, pihak polis telah memanggil tiga orang remaja untuk memberi keterangan berhubung video tular terbabit.
Menurut Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah, mereka yang dipanggil adalah seorang wanita berusia 18 tahun dan remaja lelaki, 17, masing-masing berasal dari Batu Berendam dan Jasin.
Manakala seorang lagi wanita berusia 18 tahun yang tinggal di Jalan Dato Senu, Kuala Lumpur dipanggil untuk memberi keterangannya di IPD Sentul pada 9.55 malam tadi.
Hanya bergurau dengan rakan
Mengulas lanjut, siasatan polis mendapati individu terlibat berbual tentang dadah selepas menonton filem memaparkan babak berkaitan dengan penyalahgunaan dadah.
Memetik Harian Metro, perbuatan itu juga dikatakan sekadar gurauan bersama rakan semata-mata.