Yasin Dijatuhi Hukuman Penjara Seumur Hidup & 16 Sebatan, Terus Dibawa Ke Penjara Kajang
Yasin yang sebelum ini ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenalkan Sultan Selangor kemudiannya digari oleh pihak polis dan dibawa terus ke Penjara Kajang.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari ini (22 Ogos), penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas dia didapati bersalah atas tiga pertuduhan dadah dihadapinya pada dua tahun lalu.
Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Datuk Norsharidah Awang selepas membenarkan rayuan pendakwaan selaku perayu ke atas keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Faiz Dziyauddin yang melepas dan membebaskan Yasin
Yasin Suliaman dibawa terus ke Penjara Kajang
Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman, 48, yang sebelum ini ditempatkan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama tempoh yang diperkenalkan Sultan Selangor kemudiannya digari oleh pihak polis dan dibawa terus ke Penjara Kajang.
“Hari ini hari yang gelap untuk saya,” kata Yasin sebaik dibawa polis dipetik Berita Harian.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala peguam Ariff Azami Hussein mewakili Yasin.
Pertuduhan pertama: Yasin didakwa miliki dadah jenis Kanabis seberat 193.7 gram
Mengikut pertuduhan pertama yang baharu, Yasin didakwa memiliki dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Suria Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara pada jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.
Susulan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum seumur hidup dan boleh dikenakan sebat tidak kurang 10 sebatan jika disabitkan kesalahan.
Pertuduhan kedua: Yasin didakwa tanam 17 pokok daripadanya adalah Kanabis
Bagi pertuduhan kedua pula, pelantun lagu ‘Mimpi Laila’ itu didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya Kanabis diperoleh secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan dan hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada enam kali jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga: ambil dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’
Pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9-carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.