fbpx
Now Reading
Pembelian Berulang Bahan Api RON95 & Diesel Tidak Dibenarkan – KPDN Perak [Video]

Pembelian Berulang Bahan Api RON95 & Diesel Tidak Dibenarkan – KPDN Perak [Video]

Difahamkan, sekiranya terdapat individu melakukan kesalahan tersebut, maka pengguna dan pengusaha stesen minyak akan dikenakan tindakan di bawah akta terbabit.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Negeri Perak tidak lagi membenarkan orang ramai mengisi minyak petrol RON95 dan diesel secara berulang kali.

Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, peraturan baharu ini ditetapkan bagi mengelak petrol bersubsidi dan diesel diseleweng ke negara jiran seperti Thailand.

Menerusi hantaran video yang dimuat naik di akaun TikTok @kpdn_perak, advokasi dan serahan arahan pengawal bekalan kepada pengusaha stesen minyak di negeri itu telah diberikan dalam satu majlis pada 20 Ogos lalu di Dewan Utama Kolej Poly-Tech Mara, Ipoh.

Perak negeri keempat laksana arahan larangan pembelian bahan api berulang

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Bahagian Penguatkuasaan KPDN Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil berkata, Perak merupakan negeri keempat selepas Kedah, Kelantan dan Perlis yang melaksanakan arahan larangan pembelian berulang itu.

Ujarnya, keempat-empat negeri ini dipilih pada ketika ini kerana mempunyai stesen minyak bersempadan dengan Thailand.

“Jadi untuk makluman semua, setakat ini di negeri Perak terdapat 429 stesen minyak dan juga pemegang lesen runcit bahan api diesel dan petrol RON95 serta RON97,” katanya.

Semakan kami mendapati, Johor tidak termasuk dalam arahan tersebut meskipun kawasannya bersempadan dengan satu lagi negara jiran iaitu Singapura.

Beri maklumat, pendedahan dan pencerahan mengenai sistem kawalan subsidi

Menurutnya lagi, tujuan mengadakan program advokasi dan serahan arahan pengawal bekalan itu juga adalah untuk memberi maklumat serta pendedahan dan pencerahan berhubung dengan sistem kawalan subsidi 2.0 dan penguatkuasaan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Difahamkan, sekiranya terdapat individu melakukan kesalahan tersebut, maka pengguna dan pengusaha stesen minyak akan dikenakan tindakan di bawah akta terbabit.

Kelantan larang pembelian berulang untuk pengisian RON95

Terdahulu, media melaporkan pembelian berulang untuk pengisian RON95 di semua stesen minyak di Kelantan tidak lagi dibenarkan bagi mengelak petrol bersubsidi itu diseleweng ke negara jiran pada bulan Jun lalu yang kemudiannya diikuti oleh Perlis (Jun) dan Kedah (Ogos).

Memetik laporan Berita Harian, arahan itu dikeluarkan selepas ada pihak dikesan cuba menggunakan pembelian berulang untuk mengumpulkan stok RON95 sebelum diseludup ke Thailand.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.