Pendang, Kedah Kawasan Paling Tinggi Masalah Penyalahgunaan Dadah – Saifuddin
Nisbah itu diperoleh daripada hasil pemetaan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pusat Pemulihan Narkotik Swasta.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Masalah penagihan dadah dalam masyarakat sememangnya amat merisaukan. Ini kerana masalah penagihan yang serius boleh membawa kesan lain antaranya seperti kes jenayah.
Ini dapat dilihat apabila jenayah seperti kes bunuh atau samun, rata-rata pelakunya positif dadah selepas menjalani ujian air kencing.
Keadaan ini sudah semestinya akan mengundang kerisauan ramai lebih-lebih lagi jika kawasan yang diduduki merupakan lokasi ‘hot spot’ masalah tersebut.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Lelaki Diikat & Dipukul Hingga Maut: Mangsa Positif Dadah, 7 Invididu Sudah Ditahan – PDRM
Baca Artikel Berkaitan: “Mulut Disumbat Kain, Badan Ditelungkup” – Wanita Luah Detik Suami Penagih Dadah Dera Bayi Hingga Maut
Pendang Jadi Kawasan Paling Serius Masalah Penyalahgunaan Dadah
Semalam (22 Ogos), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mendedahkan beberapa daerah khususnya di Pendang, Kedah menjadi kawasan yang mempunyai masalah penyalahgunaan dadah paling serius di Malaysia dengan nisbah melebihi 1,000 orang berbanding kadar nisbah ideal 432 orang bagi setiap 100,000 penduduk.
Nisbah itu diperoleh daripada hasil pemetaan yang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Pusat Pemulihan Narkotik Swasta.
Jelasnya, Pendang merekodkan nisbah 1,333 daripada 100,000 penduduk diikuti dua lokasi di Kelantan iaitu Machang dan Bachok serta Besut, Dungun, Marang dan Kemaman, di Terengganu.
“Apabila kita buat ‘mapping’ yang paling serius bagi penagihan dadah di Pendang, Kedah dengan jumlah 1,333 orang,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.
Faktor Demografi Jadi Punca Utama Penyumbang Masalah Penyalahgunaan Dadah
Tambah Saifuddin, antara faktor utama yang menjadi penyumbang terbesar kepada peningkatan masalah itu adalah faktor demografi seperti taraf pendidikan, pekerjaan dan pendapatan isi rumah.
“Data yang kita dapat ini sangat granular, ia berdasarkan latar belakang, kaum dan taraf pendidikan serta pendapatan isi rumah.
“Kita dapati kelompok ramai yang terlibat ialah daerah hampir 100% komuniti Melayu. Kedua tahap pekerjaan swasta dan penganggur iaitu 56%.
“Tahap pendidikan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) paling tinggi. Maknanya angka kelayakan dia minimum SPM manakala kelompok B40 hingga M40 (bawah) direkodkan ramai terlibat,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas program PDRM Special Dilogue II yang diadakan di Sime Darby Convention Centre.
Beberapa Pendekatan Akan Diambil Atasi Isu Penyalahgunaan Dadah
Jelas Saifuddin lagi, pihaknya akan mengambil beberapa langkah bagi menangani masalah penyalahgunaan tersebut antaranya melalui program atau aktiviti bersama agensi berkaitan.
“Dalam tempoh enam bulan ini, Ketua Setiausaha KDN, Datuk Ruji Ubi akan merancang beberapa pendekatan dan menggerakkan agensi terlibat.
“Enam bulan selepas itu kita akan menilai sama ada program dilaksanakan berjaya atau perlu ditambah baik,” ujarnya.
Sekadar info, seramai 873,156 orang dipercayai terjebak dalam masalah penyalahgunaan dadah di negara ini pada 2023.
Statistik itu berdasarkan nisbah setiap penagih yang menerima rawatan dengan anggaran terdapat tambahan lima orang terlibat sama namun belum dapatkan rawatan pemulihan.
Menurut bekas Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Sutekno Ahmad Belon, anggaran tu diperoleh daripada unjuran yang dikeluarkan oleh Pejabat Jenayah dan Dadah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) dalam Laporan Dadah Dunia 2023.
Manakala, jumlah penagih yang direkodkan pada tahun 2023 meningkat kepada 145,526 orang berbanding 137,176 pada tahun 2022 dan 123,139 orang pada 2021.
Baca Artikel Berkaitan: Tular Gadis Selamba Tayang Paket Dipercayai Dadah Semasa ‘Live’, Polis Panggil 3 Remaja Untuk Beri Keterangan
Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Cadang Pinda Akta 333, Kenakan Tindakan Tegas Terhadap Pemandu Positif Dadah