Semua Individu Terperangkap Di Risda Eco Park Sudah Diselamatkan, Berjaya Seberangi Sungai
Terdahulu tular video kepala air dan empangan pecah di sekitar Slim Village pada petang 23 Ogos.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semua individu yang terperangkap di tapak perkhemahan Risda Eco Park, Kampung Ulu Slim, telah diselamatkan.
Mereka yang sudah menyeberangi sungai berada dalam keadaan selamat.
Namun memetik Awani, jumlah mangsa adalah seramai 21 orang termasuk kakitangan tempat rekreasi itu.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Penguasa Kanan Bomba ll, Khairil Adli Zakaria berkata, mereka yang terlibat adalah 18 pengunjung, dua orang awam tempatan, bersama satu kakitangan Risda Eco Park itu.
Pihak penyelamat menggunakan teknik tali yang diikat selain bot rafting untuk membawa kesemua mangsa menyeberang Sungai Geliting yang arusnya agak deras dan menjadi cabaran kepada anggota.
“Kesemua mangsa dalam keadaan selamat dan diserahkan kepada pihak pengurusan eco park untuk penempatan sementara,” katanya kepada media usai operasi menyelamat tamat pada jam 12 tengahari.
Mangsa yang terdiri daripada 14 dewasa dan tujuh kanak-kanak berumur lingkungan satu hingga 50 tahun diselamatkan tepat jam 11.30 hasil kerjasama pelbagai agensi penyelamat dan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan.
Kesemua mangsa terperangkap di tapak perkemahan terbabit ekoran dari kejadian kepala air dan empangan pecah pada Jumaat (23 Ogos).
Mangsa Dikeluarkan Sebaik Air Surut
Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata 19 mangsa yang terperangkap akan dikeluarkan hari ini. Pihaknya merangka pelan bagi membawa kesemua mangsa keluar dalam masa terdekat sebaik air surut.
“Apabila dibawa keluar kesemua mereka akan ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) terdekat.
“Pasukan penyelamat terdiri daripada pelbagai agensi telah berada di lokasi untuk menyelamatkan mangsa dan menentukan sama ada mangsa berada dalam keadaan selamat.
“Pihak penyelamatan juga berjaya menghubungi mereka dan setakat ini semuanya berada dalam keadaan baik,” katanya dipetik Awani.
Jambatan Ke Risda Eco Park Runtuh
Menurut Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak Sabarodzi Nor Ahmad pula, pihaknya dalam keadaan tunggu sedia (standby) susulan jambatan untuk ke pusat rekreasi itu runtuh.
“Mangsa terperangkap membabitkan 10 dewasa dan 9 kanak-kanak, kesemua mangsa berada di khemah masing-masing dilaporkan selamat dan stabil menurut sumber daripada pengurus tempat rekreasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Semalam (23 Ogos) tular video kepala air dan empangan pecah di sekitar Slim Village. Media melaporkan sekurang-kurangnya 109 individu terperangkap.