Gua Kosong Bawah KL Adalah Palsu, UM Dedah Tiada Ahli Geologi Nama Dr Sarah Jamal
Tambah Dr Meor Hakif, nama Sarah Jamal juga tidak pernah wujud dalam senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Insiden tanah mendap yang berlaku baru-baru ini berhampiran di Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur telah mendapat perhatian ramai di platform media sosial.
Mangsa wanita warga India Vijaya Lakshmi, 48, terjatuh dan tertimbus di dalam lubang benam sedalam kira-kira enam meter itu. Hingga ke hari ini, mangsa masih belum dijumpai.
Susulan kes berkenaan, ramai pihak di luar sana turut mempertikaikan keselamatan ibu kota Kuala Lumpur. Selain itu, terdapat juga kenyataan yang kononnya ditulis oleh pakar dari Universiti Malaya (UM) tentang ‘gua kosong yang amat besar di bawah KL’.
Baca Artikel Berkaitan: Kes Wanita Terjerlus Di Masjid India: Datuk Bandar Nafi Dakwaan KL Tak Selamat
UM Nafi Artikel Gua Kosong Bawah KL Diterbitkan Ahli Geologi Dari UM
Hari ini (26 Ogos), UM menafikan artikel tentang ‘Gua kosong di bawah bandar raya Kuala Lumpur’ yang kononnya ditulis oleh ahli geologi bernama Dr Sarah Jamal dari institusi pengajian tersebut.
Ketua Jabatan Geologi, Fakulti Sains, UM, Prof. Madya Dr Meor Hakif Amir Hassan berkata, tiada ahli geologi bernama Dr Sarah Jamal yang berkhidmat di UM setakat ini.
Tak Wujud Nama Sarah Jamal Di Ahli Geologi Malaysia
Tambah Dr Meor Hakif, nama Sarah Jamal juga tidak pernah wujud dalam senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia.
“Kandungan artikel ini adalah tidak berdasarkan fakta dan adalah palsu. Staf Jabatan Geologi UM mengambil langkah berhati-hati mengulas berkenaan insiden di Jalan Masjid India yang melibatkan kehilangan nyawa.
“Ia memandangkan kerja-kerja SAR (mencari dan menyelamat) dan penyiasatan oleh pihak berkuasa masih berjalan, serta punca kejadian masih tidak dipastikan,” kata beliau dalam satu kenyataan di laman Facebook.
Individu Dakwa Ramai Yang Panik Selepas Baca Artikel Palsu Itu
Menjengah ke ruangan komen hantaran, ramai berpendapat bahawa pihak UM perlu mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang menyebarkan berita palsu kepada masyarakat.
Malah ada yang berkata, UM perlu mengeluarkan kenyataan rasmi kerana mendakwa ramai yang sudah panik dengan artikel ‘Gua kosong bawah KL’ itu.
Terdahulu, tular di media sosial laporan yang menyebut kononnya Dr Sarah Jamal dari UM membuat pendedahan bahawa terdapat sebuah gua kosong yang amat besar di bawah Bandaraya Kuala Lumpur.
“Menurut kajian mendalam yang dilakukan oleh Dr Sarah dan pasukannya, struktur geologi unik ini telah terbentuk berjuta-juta tahun yang lalu, menjadikan Kuala Lumpur seolah-olah sebuah bandar yang dibina di atas ‘atap’ sebuah gua raksasa,” tulis artikel itu.
Bagaimanapun, beberapa pihak menafikan kenyataan itu termasuklah Ahli Geosains dan Datuk Bandar yang menegaskan Kuala Lumpur adalah selamat.
Baca Artikel Berkaitan: Ahli Geosains Jelaskan Tentang Formasi Batu Kapur Di Kuala Lumpur
Baca Artikel Berkaitan: [Video] Wanita Terjerlus Di Masjid India: Suami Dedah Dengar Jeritan Isteri Sebelum Senyap