Pengambilan & Ketagihan Air Ketum Antara Punca Pelajar Tidak Produktif, Malas Ke Sekolah – AADK
Kajian AADK bersama UUM dan UM turut menunjukkan murid yang mengambil dan ketagih air ketum gagal memberi tumpuan dalam kelas selain tingkah laku menjadi agresif.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Selain daripada pengajaran dan didikan seorang guru, kehadiran murid ke sekolah juga menjadi antara faktor yang boleh membuatkan seseorang itu untuk berjaya di masa hadapan khususnya dalam penjagaan disiplin diri.
Namun, tidak semua pelajar yang mampu datang setiap hari ke sekolah disebabkan faktor kesihatan atau peribadi seperti hal kecemasan.
Wujud Hubungan Signifikan Pengambilan Air Ketum Dengan Prestasi Akademik & Tingkah Laku
Siapa sangka, hasil kajian Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaya (UM) mendapati pengambilan dan ketagihan air ketum menjadi punca pelajar malas datang ke sekolah.
Penemuan itu juga menunjukkan murid yang mengambil dan ketagih air berkenaan gagal memberi tumpuan dalam kelas.
Memetik Harian Metro, AADK menerusi Unit Media dan Komunikasi Korporat menjelaskan wujud hubungan signifikan di antara pengambilan air ketum dengan prestasi akademik dan tingkah laku.
“Pengambilan air ketum menjadikan seseorang pelajar tidak produktif. Apabila pelajar meminum air ketum, tingkah laku pelajar juga berubah dan bertindak lebih agresif.
“Ia berlaku apabila remaja ini gagal mendapatkan sesuatu barang yang mengkhayalkan. Mereka seterusnya mengajak rakan terbabit sama meminum air ketum.
“Bermula meminum air daun ketum yang mengakibatkan perubahan tingkah laku, keadaan seterusnya menjadi lebih teruk apabila pelajar ini berusaha mendapatkan bahan lebih mengkhayalkan seperti dadah,” katanya.
Penyalahgunaan Air Ketum Boleh Sebabkan Ketagihan
Terang AADK, penyalahgunaan ketum atau bahan psikoaktif seperti mitragynine memberi kesan stimulan, sedatif atau khayal hingga boleh menyebabkan ketagihan.
“Oleh itu, penggunaan ketum di negara kita perlu dikawal dari segi penyalahgunaannya. Perkara ini disokong melalui tiga kajian dilaksanakan AADK bersama dua universiti awam iaitu UUM pada tahun 2013 dan 2014.
“Ia membabitkan kajian Penyalahgunaan Daun Ketum di Kawasan Utara Semenanjung Malaysia dan cadangan penyelesaian serta penyalahgunaan ketum dalam kalangan pelajar sekolah di Perlis dan Kedah.
“Manakala kajian bersama Universiti Malaya pada 2020 pula berkenaan Pendekatan Menyeluruh Terhadap Kesan Sosio-Ekonomi Dan Persekitaran Ke Atas Penanaman Ketum Di Malaysia,” katanya.
Wujud Perbezaan Corak Penggunaan & Bentuk Pengambilan Dalam Kalangan Belia
Hasil kajian pada tahun 2013 diperkukuhkan dengan kajian daripada universiti sama pada tahun 2014 mendapati wujud perbezaan corak penggunaan dan bentuk pengambilan ketum dalam kalangan belia.
Ia membabitkan dua kategori belia iaitu mereka yang berumur 12 tahun higga 29 tahun serta belia yang berumur 30 tahun hingga 39 tahun.
“Corak dan bentuk penyalahgunaan ketum bagi kategori belia di bawah umur 30 tahun adalah lebih menjurus kepada mengikut rakan dan mendapatkan keseronokan.
“Golongan ini juga lebih cenderung untuk mencampurkan bahan lain di dalam air ketum bagi tujuan mendapatkan rasa yang lebih sedap di samping menghilangkan rasa pahit ketum.
“Perkara ini berlaku kerana mereka masih lagi dalam tempoh mencuba dan tidak dapat menahan rasa pahit air rebusan ketum,” jelas AADK lagi.
Belia 30 Tahun Ke Atas Ambil Ketum Bagi Tujuan Hilang Tekanan
Tambah AADK lagi, golongan belia yang berumur 30 tahun ke atas memilih untuk minum air ketum bagi tujuan menghilangkan ketagihan dan tekanan selain daripada mendapat keseronokan.
Malah, kumpulan ini melakukan perbuatan itu bukan kerana terpengaruh dengan rakan sebaliknya menjadi pendorong kepada golongan muda untuk mengikut mereka.
“Golongan ini boleh dikategorikan sebagai pengguna ketum yang tegar. Menariknya, golongan ini kurang untuk mencampurkan ketum dengan bahan lain dan lebih gemar untuk meminum air ketum biasa.
“Hal ini kerana, mereka telah mengalami simptom ketagihan dan terbiasa dengan rasa air ketum yang pahit dan perlu mendapatkannya dengan lebih cepat berbanding melakukan proses mencampurkannya dengan pelbagai jenis bahan lain,” katanya.
Sekadar info, ketum atau nama lainnya biak-biak asalnya digunakan oleh golongan pekerja seperti petani atau nelayan untuk menambah tenaga dan mengurangkan keletihan yang disebabkan oleh rutin pekerjaan.
Malah, ia juga digunakan secara tradisional bagi memberi tenaga khususnya buat wanita yang baru lepas bersalin.
Baca Artikel Berkaitan: Pelajar Tingkatan Lima Dicekup Polis, Disyaki Jual Air Ketum
Baca Artikel Berkaitan: Ketum Berpotensi Rawat Ketagihan Dadah?
Baca Artikel Berkaitan: Ketum… Bermanfaat Atau Memudaratkan