Ramai Sebak Lihat Senyuman Rakyat Palestin Semasa Kunjungan Dr Na’im Mokhtar [Video]
Menteri Agama itu turut memberi bantuan kepada seluruh mangsa yang terlibat sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui, ketika ini terdapat 127 rakyat Palestin yang dibawa ke Malaysia di mana 41 daripadanya cedera dan menerima rawatan di negara ini.
Mereka yang cedera akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza itu terdiri daripada 20 lelaki dan 21 wanita berusia antara lapan bulan sehingga 62 tahun.
Ketibaan mereka di Pangkalan Tentera Udara, Subang dengan menaiki dua pesawat A-400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 16 Ogos lalu itu mendapat sambutan yang amat baik dari kebanyakan rakyat Malaysia.
Menteri Agama ziarah rakyat Palestin yang sedang dirawat
Terbaharu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar melakukan kunjungan ziarah kepada rakyat Palestin itu yang sedang dirawat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok rasminya (@dsdrnaim), beliau turut memberi bantuan kepada seluruh mangsa yang terlibat sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.
“Saya telah menyampaikan sedikit bantuan kepada seluruh mangsa yang terlibat sebagai tanda solidariti selain merupakan sokongan padu kepada keprihatinan tinggi Perdana Menteri, Datuk Seri Seri Anwar Ibrahim dengan nasib rakyat Palestin yang ditindas serta dinafikan hak mereka oleh pihak Israel.”
Menteri di jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar
Dr Na’im fasih berbahasa Arab semasa berbual dengan rakyat Palestin
Di dalam video terbabit, kelihatan Dr Na’im amat fasih berbahasa Arab ketika berbual bersama rakyat Palestin yang sedang menerima rawatan itu.
Bekas Ketua Jabatan Kehakiman Syariah itu dilihat menanyakan nama, umur, khabar kesihatan serta bagaimana pengalaman mereka berada di negara ini.
Rata-rata mereka begitu teruja dan jelas terpampang keceriaan wajah mereka selepas sekian lama hidup dalam ketakutan dan penderitaan.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan HAT Tuanku Mizan atas segala usaha memberikan perkhidmatan rawatan terbaik kepada semua mangsa itu.
“Marilah bersama-sama kita terus berdoa agar semua mangsa yang sedang menerima rawatan di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Wangsa Maju, Kuala Lumpur diberikan kesembuhan oleh Allah Subhanahu Wataala.
“Pada masa sama, kita mendoakan agar rakyat di Palestin diberikan kesejahteraan dan keselamatan,” ujarnya.
Netizen puji Dr Na’im fasih berbahasa Arab, layan warga Palestin dengan penuh kasih sayang
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial memberikan pujian kepada Menteri Agama itu kerana melayani warga Palestin itu dengan penuh lemah lembut dan kasih sayang.
Malah, ramai yang meluahkan rasa sebak apabila melihat senyuman rakyat Palestin khususnya kanak-kanak selepas mereka lama berdepan dengan penindasan di Tanah Air sendiri.
Tidak hanya itu, mereka turut memberikan pujian kepada Dr Na’im kerana fasih berbahasa Arab selain menyifatkan beliau sebagai seseorang yang sememangnya layak memegang jawatan sebagai Menteri Agama.