Tular Video Kereta Masuk Parit, Rupanya Terbabas Elak Monyet Melintas
Menurut Ketua Polis Daerah Kerian, kemalangan itu berlaku di baju jalan Kilometer 15 Jalan Selama-Bagan Serai pada kelmarin (24 Ogos).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sejak semalam (25 Ogos), tular di media sosial satu video yang memaparkan beberapa individu berdepan detik cemas selepas kenderaan yang dinaiki mereka terbabas ke dalam sebuah parit di Perak.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun TikTok @_mrkay_, kelihatan beberapa orang awam dengan pantas terjun ke dalam parit berkenaan dan menyelamatkan mangsa.
Rata-rata pengguna media sosial yang melihat video terbabit memberikan pujian kepada orang awam berkenaan kerana berjaya menyelamatkan kesemua mangsa yang terdiri daripada wanita, kanak-kanak serta bayi itu.
Namun, ramai tertanya-tanya apakah yang menyebabkan kemalangan itu berlaku.
Elak sekumpulan monyet melintas, punca kemalangan terbabas masuk parit
Terbaharu, Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Juna Yusoff berkata, kemalangan berlaku akibat kereta dipandu oleh seorang wanita itu telah mengelak sekumpulan monyet melintas.
Menurutnya, kemalangan itu berlaku di bahu jalan Kilometer 15 Jalan Selama-Bagan Serai pada petang kelmarin (24 Ogos).
“Selepas mengelak haiwan liar, kenderaan itu telah melanggar sebatang tiang elektrik dan terbabas ke dalam parit saliran di sebelah kanan bahu jalan.
“Kesemua mangsa iaitu pemandu dan penumpang wanita beserta empat orang kanak-kanak berusia antara setahun hingga 13 tahun telah jatuh dalam parit dan diselamatkan oleh orang awam,” katanya dipetik Kosmo.
Kesemua mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar, terima rawatan sebagai pesakit luar
Menurutnya lagi, kesemua mangsa telah dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk menjalani rawatan sebagai pesakit luar.
“Kesemua mangsa tidak mengalami kecederaan yang serius dan telah dibenarkan pulang ke rumah pada hari yang sama.
“Pemandunya telah hadir semalam ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian untuk membuat laporan polis berhubung kejadian itu,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, beliau berkata, kes terbabit disiasat di bawah Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59).