fbpx

Lelaki Maut Ditetak Sekumpulan Suspek Bertopeng Di Jasin, Polis Buka 4 Kertas Siasatan

Menurut Ketua Polis Daerah Jasin, tiga individu telah berjaya ditahan, manakala beberapa lagi suspek yang masih bebas dan dipercayai terbabit dalam serangan itu sedang giat diburu.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Sejak semalam (26 Ogos), tular di media sosial dua video yang memaparkan insiden dipercayai pergaduhan berlaku di hadapan sebuah Hospital di Melaka.

Dalam rakaman terbabit, kelihatan kejadian terbabit juga disaksikan oleh beberapa orang awam dan kakitangan hospital berkenaan.

Lelaki ditetak sekumpulan suspek bertopeng di Jasin

Difahamkan, insiden itu membabitkan seorang lelaki yang maut ditetak oleh sekumpulan suspek bertopeng bersenjatakan parang di hadapan sebuah kedai gunting rambut di Taman Rim Baru, Jasin pada malam semalam.

Dalam kejadian itu, mangsa yang berusia 24 tahun itu cuba diselamatkan oleh adiknya dengan membawa lelaki berkenaan ke hospital, namun kedua-dua mereka dikejar suspek sehingga ke Unit Kecemasan Hospital Jasin.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamid Radzi berkata, pergaduhan awal dipercayai berlaku di Taman Rim Baru apabila mangsa ditetak sekumpulan individu bertopeng.

“Selepas ditetak, mangsa sempat menghubungi adiknya berusia 22 tahun meminta tolong untuk membawanya ke hospital.

“Sejurus mangsa diturunkan di Unit Kecemasan Hospital Jasin, kereta adiknya tiba-tiba dikepung kumpulan sama yang kemudian bertindak memecahkan cermin kenderaan tersebut,” katanya dipetik Kosmo.

Adik mangsa lari ke IPD Jasin untuk dapatkan bantuan dan buat laporan polis

Menurutnya, susulan serangan itu, adik mangsa terus memecut kenderaan dan melarikan diri ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin yang terletak kira-kira tiga kilometer bagi mendapatkan bantuan serta membuat laporan.

“Ketika cuba melarikan diri, pemuda itu turut melanggar sebuah ambulans hospital. Mangsa yang ditetak bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Jasin pada 10.15 malam,” katanya.

Menurutnya lagi, setakat ini polis berjaya menahan tiga suspek berusia 21, 22 dan 31 tahun dan semua mereka direman sehingga 1 September ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Pihak polis buka 4 kertas siasatan

Memetik laporan Harian Metro, Ahmad Jamil berkata pihak polis membuka empat kertas siasatan berhubung kejadian itu.

“Selain, kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) kerana membunuh, polis turut membuka tiga lagi kertas siasatan berhubung kejadian.

“Dua kertas siasatan yang dibuka membabitkan Seksyen 148/427 KK kerana merusuh serta khianat di Hospital Jasin dan Taman Sin Ban Bee, manakala satu lagi di bawah Seksyen 506/427 KK kerana ugutan dan khianat di rumah mangsa,” katanya.

Berkongsi lanjut, beliau berkata, pihak polis giat menjalankan usaha mengesan beberapa lagi suspek yang masih bebas dan dipercayai terbabit dalam serangan itu.

“Pihak polis juga ada mengesan beberapa klip video kejadian di Hospital Jasin yang tular, justeru itu kami memohon kerjasama orang ramai supaya tidak menularkan video berkenaan kerana dikhuatiri mengganggu siasatan serta menjaga sensitiviti keluarga mangsa,” ujarnya.

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.