Muhyiddin Mengaku Tak Bersalah Atas Pertuduhan Menghasut Ketika Ceramah PRK Nenggiri
Kesalahan menghasut itu didakwa dilakukan berhampiran Dewan Semai Bakti di Felda Perasu di Gua Musang antara 10.30 hingga 11.50 malam pada 14 Ogos lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Hari ini (27 Ogos), Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin didakwa di Mahkamah Sesyen Gua Musang atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut di Felda Perasu ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri pada bulan ini.
Bagaimanapun, beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri dan mohon dibicarakan.
Muhyiddin sebut perkataan menghasut semasa ceramah umum PRK Nenggiri
Mengikut pertuduhan, Muhyiddin didakwa menyebut kenyataan menghasut semasa sedang berceramah di hadapan penonton sempena PRK itu.
Ayat berkenaan adalah:
“Saya nak ceritakan mungkin orang Nenggiri ingatkah.. tak ingat. Saya waktu itu, sekali lagi diberikan sokongan ada 115 Ahli Parlimen yang sokong saya.
“Ikut Perlembagaan kalau saya sebagai Ahli Parlimen ada dapat sokongan 114, campur saya Muhyiddin Yassin ada satu Parlimen jadi 115. Kerusi Parlimen 222. Kalau bahagi 2 berapa? 111… kalau dapat lebih 1 dia boleh bentuk kerajaan. Tapi saya dapat 115.
“Kalau ikut kiraan Perlembagaan saya sudah ada jumlah yang lebih daripada mencukupi untuk jadi Perdana Menteri. Ini bukan nak mengungkit tapi it’s a record of history. Tapi entah macam mana Yang Dipertuan Agong waktu itu tak ajak jemput saya pergi Istana angkat sumpah.
“Siapa yang Dipertuan Agong dulu? Faham dah la eh. Kita tak nak cerita apa-apa buruk eh, tapi yang itu bagi saya agak luar biasa…tapi takpe lah. Maka lepas tu terbentuklah kerajaan Perpaduan.. sekarang ni kita panggil kerajaan Madanon.”
Kesalahan itu dilakukan berhampiran Dewan Semai Bakti di Felda Perasu di Gua Musang antara 10.30 hingga 11.50 malam pada 14 Ogos lalu.
Muhyiddin didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut subseksyen 4(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabit kesalahan.
Pendakwaan dilakukan enam timbalan pendakwa raya (TPR) yang diketuai Datuk Umar Saifuddin Jaafar dan Muhyiddin diwakili lima peguam.
Lima peguam Muhyiddin iaitu:
- Amer Hamzah Arshad
- Chetan Jethwani
- Datuk Seri Takiyuddin Hassan
- Mohd Nasir Abdullah
- Mariana Mat Kudin
Terdahulu, Umar Saifuddin selaku TPR memohon jaminan ditawarkan sebanyak RM20,000 selain mengenakan syarat tambahan berhubung perintah larangan bersuara dan mengeluarkan kenyataan berhubung isu berkenaan.
Pun begitu, Amer Hamzah yang mewakili Muhyiddin pula memaklumkan jaminan RM20,000 adalah tidak wajar dan keterlaluan selain tidak perlu mengenakan sebarang perintah larangan bersuara memandangkan isu berkenaan sudah diketahui umum, beliau meminta agar jaminan hanya RM5,000 dikenakan.
Mahkamah kemudiannya memberikan jaminan sebanyak RM5,000 dan menolak permohonan pihak pendakwaan berhubung perintah larangan bersuara selain 4 November hadapan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan segera ke atas Muhyiddin timbulkan banyak persoalan – Ahmad Faizal
Sebelum ini, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata pendakwaan segera ke atas bekas Perdana Menteri itu oleh Peguam Negara berhubung kes berkenaan juga menimbulkan banyak lagi persoalan.
Jelasnya, ini kerana tindakan menyatakan fakta terutamanya berkaitan Perlembagaan Persekutuan tanpa berkecenderungan menghasut tidak boleh dianggap sebagai perbuatan menghasut atau menjadi kesalahan.
Ahmad Faizal mendakwa ucapan Muhyiddin itu disampaikan secara beralas tanpa mengandungi sebarang unsur provokasi.
Katanya, malah Ahli Parlimen Pagoh itu dalam ucapanya secara jelas menyebut beliau tidak mahu menyatakan apa-apa perkara buruk terhadap raja dan ada menyebut ‘tidak mengapalah’. Di mana ia membuktikan ucapan tidak bertujuan menghasut rakyat terhadap raja, lapor Awani.
Tengku Mahkota Pahang murka dan amat terkilan dengan Muhyiddin
Terdahulu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi kepada Muhyiddin yang didakwa secara sengaja menyentuh sentimen 3R.
Baginda turut menzahirkan rasa murka dan amat terkilan terhadap Muhyiddin yang dilihat secara sengaja dan sinis telah memperlekehkan serta mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sewaktu baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong (YDPA) ke-16 dahulu.
Pada 21 Ogos pula, Muhyiddin memaklumkan telah memberi keterangan kepada pihak polis berhubung ucapannya semasa PRK Nenggiri itu.
Muhyiddin menyangkal tuduhan terbabit dan menyatakan bahawa ucapannya itu tidak mempunyai niat untuk menghina institusi Raja di negara ini.
Baca Artikel Berkaitan: Tengku Mahkota Pahang Murka Dengan Muhyiddin, Mahu PDRM Ambil Tindakan Tegas
Baca Artikel Berkaitan: