Prasarana Sahkan Sistem Dalaman Digodam, Sedang Usaha Untuk Selesaikan Kes
Prasarana Malaysia Berhad telah mengenal pasti dan kini sedang berusaha untuk menangani insiden keselamatan siber tersebut yang berlaku berikutan akses tanpa kebenaran itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Dalam dunia yang penuh kemajuan ini, masih wujud pelbagai kes penyalahgunaan kemahiran teknologi untuk tujuan menggodam pihak sasaran.
Malah mereka menggunakan kepakaran tersebut sebagai senjata untuk memerangkap mangsa demi meraih keuntungan.
Lebih parah apabila ada yang berani menggodam data rasmi milik kerajaan dan pihak berkepentingan seperti mana yang berlaku baru-baru ini.
Penggodam Didakwa Curi Data Dari Prasarana Malaysia Berhad
Menerusi ciapan dimuat naik di laman X (@FalconFeedsio), syarikat operator perkhidmatan tren iaitu Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dipercayai telah menjadi mangsa kepada sejenis ‘ransomware’ dikenali sebagai RansomHub.
Kumpulan itu didakwa telah memperoleh 316GB data daripada organisasi tersebut dan merancang untuk menerbitkannya dalam tempoh enam hingga tujuh hari akan datang.
Kejadian itu dilaporkan berlaku pada Ahad lalu (25 Ogos).
🚨 RansomHub Ransomware Alert 🚨
— FalconFeeds.io (@FalconFeedsio) August 25, 2024
PRASARANA MALAYSIA BERHAD 🇲🇾
PRASARANA MALAYSIA BERHAD, a company in the transportation & logistics sector, has fallen victim to RansomHub ransomware. The group claims to have obtained 316 GB of the organization's data and plans to publish it… pic.twitter.com/UqrhE3rWnT
Prasarana Sahkan Mereka Jadi Mangsa Serangan Siber
Menerusi kenyataan dimuat naik di laman Facebook Rapid KL, Prasarana mengesahkan ciapan berhubung kes keselamatan siber yang melibatkan sebahagian daripada sistem dalaman mereka.
Susulan itu, Prasarana telah mengenal pasti dan kini sedang berusaha untuk menangani insiden keselamatan siber tersebut yang berlaku berikutan akses tanpa kebenaran.
“Kami sedang mengurus dan menangani situasi ini. Kami juga sedang bekerjasama dengan pakar keselamatan siber untuk menyiasat serta mengambil langkah mitigasi,” jelas Prasarana.
Selain itu, pihak Prasarana juga akan memastikan pengangkutan awam tidak terganggu dan mengutamakan kualiti perkhidmatan dalam keadaan baik.
“Keutamaan kami adalah pada keselamatan dan kebolehpercayaan perkhidmatan pengangkutan awam. Kami ingin mengesahkan bahawa insiden ini tidak memberi gangguan terhadap operasi harian kami,” kata Prasarana.
Pada masa yang sama, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) dan CyberSecurity Malaysia turut bekerjasama bagi memastikan kesemua langkah keselamatan telah diambil.
Data Milik Agensi Kerajaan Juga Pernah Digodam
Terdahulu pada Disember 2023, seorang lelaki telah ditahan oleh pihak polis selepas disyaki menggodam serta menjual data hak milik agensi kerajaan di laman ‘dark web’.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf memaklumkan suspek yang disyaki terbabit dalam kes tersebut ditahan di Kuala Lumpur.
Hasil siasatan mendapati suspek berusia 24 tahun tersebut dipercayai menjual data di laman web itu dengan harga RM927 (AS$200) bagi setiap set data dengan menggunakan kaedah pembayaran mata wang kripto.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Disyaki Godam Data Agensi Kerajaan & Di Laman ‘Dark Web’ Ditahan
Cara Untuk Elak Maklumat Anda Digodam Ketika Menggunakan Internet
Dengan pelbagai kes maklumat digodam yang berlaku, pastinya ia menggusarkan hati ramai pihak kerana bimbang sekiranya data peribadi mereka dicuri oleh individu tidak bertanggungjawab.
Jangan risau, jom kami kongsikan beberapa tips untuk melindungi maklumat diri dan tidak menjadi mangsa jenayah siber.
Antara tips yang boleh digunakan adalah seperti:
- Menggunakan kata laluan yang kompleks.
- Tidak mendedahkan maklumat peribadi di media sosial.
- Tidak membuka e-mel, fail atau SMS dari individu yang tidak dikenali.
- Elakkan dari menggunakan rangkaian Wi-Fi awam.
- Menggunakan VPN bersama-sama dengan sambungan Wi-Fi anda.
- Menutup ‘bluetooth’ apabila tidak lagi menggunakannya.
Sekiranya maklumat peribadi kita jatuh di tangan orang yang tidak bertanggungjawab, tidak mustahil mereka boleh menyalahgunakan data itu untuk perkara yang tidak sepatutnya.
Baca Artikel Berkaitan: Ini 6 Cara Untuk Elak Maklumat Digodam Ketika Guna Internet