Sebar Rakaman Lama Wanita Menari, Exco Kelantan Minta Penjelasan Dari Akaun ‘Amran Fans’
Menurut Hilmi Abdullah, persembahan memaparkan penyanyi wanita yang membuat persembahan kurang sopan itu dipercayai tanpa sebarang lesen dan permit hiburan serta ia merupakan rakaman lama lebih setahun lalu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 26 Ogos lalu, sebuah akaun Facebook ‘Amran Fans’ telah memuat naik satu video memaparkan seorang wanita sedang menyanyi dan menari bersama dua lelaki.
Menerusi video tersebut, turut kelihatan wanita berkenaan menyanyi dan menari di hadapan khalayak ramai.
Exco Kelantan minta pengendali akaun Amran Fans beri penjelasan sebar video lama wanita menyanyi dan menari
Video itu secara tidak langsung telah menarik perhatian ramai termasuklah Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Kelantan iaitu Hilmi Abdullah yang meminta penjelasan daripada pengendali akaun berkenaan berhubung penyebaran video tersebut.
Jelas Hilmi, dia telah menerima beberapa panggilan dari orang ramai serta melalui kiriman WhatsApp meminta penjelasan berhubung video yang dipercayai tanpa lesen dan permit hiburan.
Video persembahan dari artis dikir dengan kelakuan kurang baik sudah lebih setahun
Kapsyen pada video tersebut turut dilihat mengeluarkan kata-kata sinis kononnya ia berlaku di ‘Bachok, USA’ dan ia menampilkan persembahan artis dikir wanita menyanyi dengan kelakuan yang kuran sopan.
“Saya terus menelefon dan mengarahkan Yang Di Pertua Majlis Daerah Bachok agar membuat siasatan segera berkait video yang sedang tular dan disyaki berlaku di Bachok, Kelantan ini.
“Hasil semakan segera didapati rakaman persembahan tersebut telah berlaku lebih setahun dahulu dan dimuat naik semula oleh Amran Fans yang mempunyai jumlah pengikut seramai 361,000 orang,” tulisnya dalam hantaran di Facebook.
Persembahan tanpa lesen dan permit hiburan
Sehubungan itu, Hilmi meminta penjelasan dari pengendali akaun berkenaan berhubung tujuan serta niat pihak berkenaan memuat naik rakaman lama terbabit.
Ini kerana, penyebaran video itu telah memberikan imej yang kurang baik kepada penduduk Bachok, Kelantan serta penguat kuasa Majlis Daerah Bachok kerana ia seperti membenarkan persembahan kurang sopan oleh penyanyi wanita berkenaan di depan orang ramai tanpa sebarang lesen dan permit hiburan.
“Sedangkan persembahan wanita sedemikian sudah lama tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak bahkan penyanyi wanita tersebut juga sudah lama tidak aktif dalam persembahan sedemikian dan sudah berhijrah ke arah yang lebih baik,” ujarnya dalam hantaran sama.
Setakat ini video itu sudah mendapat sekitar 731,000 tontonan, 2600 komen dan 546 perkongsian dan 5800 tanda suka dan emoji.
Penganjuran bertentang dengan undang-undang negeri Kelantan
Tambahnya lagi penganjuran itu jelas bertentang dengan Enakmen Hiburan dan Kawalan Tempat Hiburan Negeri Kelantan 1998 dan menyalahi Garis Panduan Kawalan Hiburan 2003 dan Pekeliling Negeri Bil 4/2003 dan boleh dikenakan hukuman dibawah Enakmen yang sama.
“Saya juga memohon kerjasama semua agar membuat laporan dan menyalurkan maklumat segera samaada kepada Majlis Daerah atau pihak berkuasan yang berkenaan sekiranya anda mempunyai sebarang maklumat mengenai penganjuran pesta-pesta hiburan yang dibuat secara haram tanpa lesen dan permit hiburan yang sah di mana-mana tempat dalam negeri Kelantan untuk tindakan selanjutnya.”