Anggota Penyelam TLDM Maut, Ditemukan Tak Sedar Selepas Sejam Sertai Operasi Salvaj KD Pendekar
Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa ditemukan tidak sedar selepas sejam menyelam bersama seorang rakan setugas.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pada 25 Ogos lalu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memaklumkan Kapal Diraja (KD) Pendekar telah tenggelam sepenuhnya jam 3.45 petang di posisi dua batu nautika dari Tanjung Penyusop, Johor.
KD Pendekar itu dilaporkan tenggelam akibat mengalami kebocoran besar yang berpunca daripada perlanggaran dengan suatu objek yang berada di bawah air semasa melaksanakan penugasan operasi.
Menurut Malaysia Industrial Skills Academy, kebocoran tersebut awalnya berlaku di Bilik Jentera sebelum ia merebak dengan cepat serta tidak dapat dikawal, seterusnya menyebabkan kapal ditelenggami air.
Susulan daripada kejadian itu TLDM kemudiannya melakukan operasi salvaj dan memantau situasi di tempat kejadian.
Anggota TLDM meninggal dunia ketika buat selaman dlaam operasi Salvaj
Terbaharu, TLDM mengesahkan seorang penyelam Ranjau TLDM dari Markas Selam dan Peperangan Periuk Api (MSPPA), Laskar Kelas (LK) I PLM Arman San Hermansa meninggal dunia pada 28 Ogos semasa melakukan selaman dalam operasi Salvaj berkenaan.
Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut Kuala Lumpur memaklumkan Lembaga Siasatan Khas telah ditubuhkan untuk mengenalpasti punca kejadian.
“Jenazah Allahyarham kini berada di Hospital Sultan Ismail, Johor untuk bedah siasat dan akan dibawa ke Lahad Datu, Sabah untuk pengebumian.
“TLDM akan memastikan segala bentuk bantuan dan sokongan disalurkan kepada keluarga Allahyarham dalam menghadapi dugaan ini,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Lepas sejam menyelam anggota TLDM ditemukan tidak sedar berdekatan KD Pendekar
Sementara itu memetik laporan Harian Metro, Allahyarham ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berdekatan KD Pendekar yang karam selepas sejam menyelam bersama seorang lagi rakan setugas.
Ujar pemangku Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Deputi Superintendan Mohd Syamsuri Mohammad parajurit yang berusia 28 tahun berkenaan telah turun menyelam pada jam 11.11 pagi di kawasan Perairan Tanjung Penyusop, Pengerang untuk melakukan tugas operasi terbabit.
“Pada 12.29 tengah hari, hanya rakan mangsa berusia 24 tahun sahaja yang naik ke permukaan.
“Usaha mencari segera dilakukan dan berjaya menemukan mangsa dalam keadaan tidak sedar berhampiran kapal karam.
“Mangsa berjaya dibawa naik ke permukaan dan usaha untuk menyelamat mangsa dilakukan di atas kapal oleh pegawai perubatan tetapi gagal,” jelasnya.
Tambahnya lagi, mayat anggota TLDM itu kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru menggunakan ambulans tentera untuk tindakan prosedur siasatan.