fbpx
Now Reading
Budak Lelaki 12 Tahun Reka Cerita Kononnya Diculik Kerana Takut Dimarahi Bapa

Budak Lelaki 12 Tahun Reka Cerita Kononnya Diculik Kerana Takut Dimarahi Bapa

Hasil siasatan mendapati, budak lelaki itu masih bersekolah dan mengikuti pengajian al-Quran di surau berhampiran rumahnya pada setiap hari jam 8 hingga 9 malam.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Semalam (29 Ogos), kecoh di Facebook satu hantaran mengenai kes penculikan yang berlaku di Setia Alam, Shah Alam, Selangor.

Menerusi hantaran yang tular itu, seorang kanak-kanak lelaki yang berusia 12 tahun didakwa diculik oleh dua orang warga asing ketika dia dalam perjalanan pulang dari kelas mengaji.

Dakwa hantaran itu lagi, budak lelaki itu ditarik masuk ke dalam kereta sebelum dia sempat menyelamatkan diri di lampu isyarat berhampiran McDonalds, Taipan dan berlari ke stesen minyak berhampiran selepas bergelut dengan penculik berkenaan.

Ibu bapa kanak-kanak itu kemudiannya datang ke stesen minyak terbabit bagi mengambil anaknya itu.

Foto: Tangkap Layar Facebook
Foto: Tangkap Layar Facebook

Rupanya Reka Cerita Kononnya Diculik, Keluar Pergi Setia City Mall

Terbaharu, polis menafikan kononnya berlaku kejadian culik seperti yang tular di media sosial.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintenden Ramsay Anak Embo, bapa kanak-kanak yang berusia 41 tahun telah membuat laporan polis mengenai kes culik pada Rabu (28 Ogos) jam 11.16 malam.

Hasil siasatan mendapati, budak lelaki itu masih bersekolah dan mengikuti pengajian al-Quran di surau berhampiran rumahnya pada setiap hari jam 8 hingga 9 malam.

“Pada hari kejadian (Rabu) selepas kelas belajar al-Quran, mangsa tidak terus pulang ke rumah tetapi telah berjalan kaki seorang diri menuju ke kawasan Setia City Mall dengan niat hendak melarikan diri dari rumahnya.

“Mangsa kemudian telah diselamatkan oleh satu pasangan warga tempatan yang kebetulan melalui jalan tersebut,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Kanak-Kanak Dibawa Ke Stesen Minyak Sebelum Dihantar Pulang

Jelas Ramsay, kanak-kanak itu kemudiannya dibawa ke stesen minyak di Setia Alam bagi membeli makanan kerana kelaparan.

Walau bagaimanapun, dia meminta kebenaran untuk ke tandas dan menelefon bapanya.

“Mangsa terpaksa mereka-reka cerita kerana takut dimarahi oleh bapanya,” katanya lagi.

CCTV Tunjukkan Tiada Insiden Kes Culik

Tambahnya lagi, semakan terhadap kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak tersebut mendapati tiada insiden penculikan seperti yang didakwa oleh kanak-kanak berkenaan.

“Rakaman itu memaparkan kanak-kanak itu sedang membeli makanan bersama satu lelaki yang membantunya dan polis telah kenal pasti saksi ini sebelum dipanggil untuk dirakam percakapan,” ujarnya.

Kes itu kemudiannya dikalsifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Pada masa yang sama, Ramsay menegaskan mana-mana individu yang memberikan maklumat palsu secara lisan atau bertulis kepada penjawat awam yang menggunakan kuasanya secara sah hingga boleh menimbulkan bencana atau kebimbangan orang ramai boleh disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.

Baca Artikel Berkaitan: Enggan Pergi Kelas Mengaji, Remaja Reka Cerita Dirinya Diculik

Baca Artikel Berkaitan: Buat Laporan Palsu Sebab Takut Dimarahi Bapa, Remaja 13 Tahun Dakwa Kononnya Diculik

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.