Pasangan Dipenjara Curi Milo Bukan Suami Isteri, Alasan Untuk Tampung Kos Dialisis Ibu Tipu – MAIM
Pesalah wanita yang bersama-sama mencuri 19 peket Milo masih lagi berstatus isteri orang dan kata suaminya, dia telah melarikan diri dari rumah bersama pesalah lelaki.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Sebelum ini, kami ada melaporkan kisah ‘sepasang suami isteri’ yang dijatuhi hukuman penjara selama 28 hari dan di denda RM3,000 kerana mencuri sebanyak 19 peket Milo 2 kilogram (kg) di sebuah pasar raya.
Apa yang menjadi perhatian, Milo tersebut dicuri untuk dijual bagi menampung kos rawatan dialiss ibu kepada tertuduh, Mohamad Nor Azam Bakar, 34.
Baca artikel berkaitan: Pasangan Suami Isteri Dipenjara 28 Hari Kerana Curi 19 Peket Milo Untuk Tampung Kos Dialisis Ibu
MAIM dedah dua pesalah bukan suami isteri, dakwaan tanggung kos rawatan dialisis ibu tak benar
Terbaharu, Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) memaklumkan kedua tertuduh bukanlah suami isteri seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Malah alasan mencuri untuk menanggung kos rawatan dialisis ibu adalah tidak benar.
Menurut MAIM, menerusi semakan yang dilakukan terhadap kedua tertuduh mendapati pesalah wanita merupakan isteri orang dan tertuduh lelaki pula adalah kekasihnya.
Ibu sebenarnya sakit kencing manis, pesalah wanita masih isteri orang
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariaman menjelaskan ia sudah disahkan oleh Skuad Agihan Zakat cawangan Merlimau bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) ke rumah lelaki berkenaan, semalam (29 Ogos).
“Skuad kita telah ke rumah pesalah lelaki di Kampung Berangan Enam dan mendapati ibunya hanya menghidap kencing manis dan pesalah wanita bukanlah ahli keluarga tersebut.
“Pesalah wanita masih berstatus isteri orang, manakala suami sahnya merupakan penerima aktif bantuan MAIM bagi Bantuan Makanan Kecemasan (one-off), Bantuan Makanan Bulanan, Bantuan Saraan Anak Sekolah dan juga Bantuan Pakaian Sekolah berjumlah RM940 sejak 2018 hingga sekarang,” katanya, dipetik Kosmo.
Pesalah wanita larikan dari rumah dengan kekasih
Ujarnya lagi, hasil soal siasat dilakukan suami kepada wanita terbabit memaklumkan isterinya telah bertindak melarikan diri dari rumah bersama kekasihnya iaitu pesalah lelaki berkenaan.
Laporan kebanyakan media berhubung kes membabitkan pasangan ini secara tidak langsung telah medapat perhatian orang ramai apabila ada yang mempersoalkan peranan MAIM dalam membantu pihak yang memerlukan.
Bukan hanya itu, ekoran rasa simpati terhadap perkara yang menimpa ‘pasangan’ terbabit ada yang sanggup membayar denda termasuk pelawak, Ali Puteh yang ingin membantu mereka kerana pernah berdepan situasi sama.