fbpx
Now Reading
Presiden IGM Dedah Gua-Gua Kecil Di Dasar KL Tak Seteruk Yang Diperkatakan

Presiden IGM Dedah Gua-Gua Kecil Di Dasar KL Tak Seteruk Yang Diperkatakan

Menurut Presiden IGM, Abd Rasid menjelaskan batu kapur di KL telah melalui proses geologi yang menjadikan batuan marmar lebih kuat dan dakwaan ibu negara akan terbenam adalah tak berasas.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 23 Ogos yang lalu, negara telah digemparkan dengan insiden tanah jerlus yang berlaku berdekatan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur (KL).

Dalam kejadian itu turut dilaporkan seorang wanita warga India, Vijaya Lakshmi Gali yang berusia 48 tahun telah terjatuh serta tertimbus dalam lubang terbabit pada kedalaman sekitar enam meter.

Insiden itu secara tidak langsung membuatkan orang ramai khususnya penduduk yang berada di kawasan berdekatan bimbang sehingga timbul pula dakwaan mengatakan terdapat pakar dikenali sebagai Dr Sarah dari Universiti Malaya (UM) kononnya menulis mengenai ‘gua kosong yang amat besar di bawah KL’.

Malah perkara itu turut menjadi perbincangan hangat orang ramai sehingga pihak UM tampil mengesahkan bahawa artikel tersebut tidak benar dan pakar itu juga tidak wujud dalam senarai daftar Lembaga Ahli Geologi Malaysia.

Baca artikel berkaitan: “Kandungan Adalah Palsu” – UM Nafi Artikel ‘Gua Kosong Bawah KL’, Tiada Ahli Geologi Nama Dr Sarah Jamal

Presiden IGM jelaskan gua-gua kecil tak seteruk yang digambarkan

Terbaharu Presiden Institut Geologi Malaysia, P. Geol Gs. Abd Rasid Jaapar tampil menjelaskan sememangnya ada gua-gua kecil yang terbentuk di dasar KL namun ia tidaklah seburuk yang digembar-gemburkan dalam media sosial.

Menurut beliau, jurutera-jurutera telah melakukan langkah yang berkaitan dalam memastikan isu mengenai kaviti tersebut ditangani serta dapat menjamin keselamatan penduduk termasuklah struktur bangunan.

“Batu Caves adalah batu kapur di atas permukaan. Kita nampak topografi Batu Caves yang kita panggil fitur kars yang tajam dengan gua-gua.

“Keadaan yang sama berlaku juga di bawah permukaan KL. Tetapi tidaklah seteruk yang digambarkan dalam media sosial dengan gua besar yang akan runtuh tidak lama lagi. Itu semua tidak tepat,” beritahunya dalam satu wawancara di Astro Awani.

Langkah sepatutnya telah dilakukan untuk tangani isu berbangkit

Dalam masa sama, Abd Rasid juga berkongsi mengenai pengalamannya sewaktu melakukan siasatan tanah semasa proses pembinaan Menara Berkembar PETRONAS.

Ujarnya, kaviti pada dasar tapak pembinaan telah mengejutkan ramai para jurutera. Akan tetapi, semua langkah yang perlu telah diambil bagi menangani masalah berbangkit.

“Kita memang jumpa gua-gua kecil. Tetapi jurutera kita yang hebat-hebat telah gunakan kaedah-kaedah mitigasi termaju pada ketika itu, bagi menangani isu gua-gua kecil bawah permukaan ini,” jelasnya lagi, dipetik Awani.

Batu kapur di KL lebih kuat

Bukan hanya itu, beliau turut memberitahu batu kapur yang terbentuk di dasar KL juga sudah melalui proses geologi di mana ia menjadi batuan marmar yang lebih kuat.

Malah beliau turut menasihatkan orang ramai tidak perlu gusar kerana menerusi kajian yang dilakukan kenyataan mengenai gua-gua tersebut adalah tidak berasas.

“Kebanyakan batu kapur di Kuala Lumpur ini bukan lagi dalam bentuk batu kapur asal. Ini kerana, kita ada batu granit yang menerobos dari bawah.

“Kalau kita ke Hulu Langat, kita ada kawasan berbukit yang merupakan kawasan-kawasan granit. Hal yang sama juga berlaku di kawasan-kawasan sekitar Subang Jaya.

“Maka, batu kapur telah melalui proses metamorfosisme yang menjadikan batu kapur itu bersifat marmar.

“Sebenarnya batu kapur di Kuala Lumpur ini lebih kuat kerana ia dalam bentuk marmar. Usah bimbang mengenai kenyataan berkaitan gua-gua itu semua tidak berasas berdasarkan kajian kita.”

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.