Tanah Mendap: PM Beri Jaminan Kuala Lumpur Masih Selamat Untuk Dikunjungi
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menjelaskan kajian teknikal telah dilaksanakan di lokasi kejadian tanah jerlus itu.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Insiden tanah mendap yang berlaku pada Jumaat (23 Ogos) lalu sememangnya merisaukan orang ramai.
Sehingga ke hari ini (30 Ogos), Vijaya Lakshmi yang menjadi mangsa insiden tanah mendap di Jalan Masjid India berhampiran Malayan Mansion masih belum ditemui walaupun telah seminggu operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilakukan.
Ketika kejadian, pelancong dari India itu hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter ketika melalui laluan berkenaan.
Insiden ini menjadi lebih hangat apabila timbul khabar angin yang menyatakan Kuala Lumpur bukanlah kawasan yang selamat untuk diduduki selepas didakwa terletak di atas gua kosong.
Ia bagaimanapun dinafikan oleh banyak pihak khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pakar geologi.
Baca Artikel Berkaitan: Gua Kosong Bawah KL Adalah Palsu, UM Dedah Tiada Ahli Geologi Nama Dr Sarah Jamal
Kajian Teknikal Telah Dilaksanakan Di Lokasi Kejadian
Terbaharu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan ibu negara Malaysia itu masih selamat untuk dikunjungi walaupun terdapat beberapa insiden mendapan tanah yang berlaku sejak akhir-akhir ini.
Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan menjelaskan, kajian teknikal telah dilaksanakan di lokasi kejadian tanah jerlus itu.
Malah, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memfokuskan kepada lokasi yang perlu diperkukuh.
“Tanah mendap itu sudah di ‘establish’ (dibuktikan) menerusi kajian teknikal dan tidak ada masalah setakat ini.
“Saya juga lalu kawasan terbabit, cuma, kawasan yang dianggap perlu diperkukuh itu, kita buat segera.
“Selain itu, pihak DBKL dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa juga telah memantau serta meneliti ‘progress’ (kes mendapan tanah) pada setiap hari,” katanya yang dipetik daripada Utusan Malaysia.
Kuala Lumpur Selamat Untuk Dikunjungi
Jelas Anwar, orang ramai tidak perlu bimbang untuk berkunjung ke KL kerana ia masih selamat.
“Setakat ini, belum ada kegusaran dan orang ramai tidak perlu bimbang untuk mengunjungi Kuala Lumpur,” ujarnya.
Beliau menjawab sedemikian selepas mengulas dakwaan orang ramai yang berpendapat Kuala Lumpur adalah lokasi yang tidak selamat pada ketika ini.
Semalam (29 Ogos), Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan belum tiba masanya untuk mewartakan Kuala Lumpur sebagai zon tidak selamat.
Ini kerana pihaknya perlu mengemukakan permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengisytiharkan kejadian berkenaan sebagai bencana.
Malah, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif sebelum ini juga pernah memaklumkan kawasan di Jalan Masjid India selamat dan terkawal selepas disahkan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Baca Artikel Berkaitan: Presiden IGM Dedah Gua-Gua Kecil Di Dasar KL Tak Seteruk Yang Diperkatakan
Baca Artikel Berkaitan: Belum Masanya Wartakan Jalan Masjid India Sebagai Zon Tidak Selamat, Kata Ketua Polis Negara