2 Anggota Didakwa ‘Pau’ Warga Asing, Polis PJ Jalankan Siasatan
Kejadian itu didakwa berlaku di Sungai Wei, Petaling Jaya dan telah dirakam oleh seorang individu dari dalam kenderaan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Polis Daerah Petaling Jaya menjalankan siasatan dalaman susulan satu video yang tular di media sosial mendakwa dua anggotanya menahan dan mengambil sogokan dari warga asing.
Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar video tular kejadian tersebut dikesan oleh pihaknya di Telegram ‘Edisi Siasat’ pada jam 5 petang, semalam (1 September).
2 Anggota Dari IPD PJ Disyaki Terlibat
Shahrulnizam berkata terdapat dua anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya yang dikenal pasti dari video yang tular.
“Paparan video berkenaan mengaitkan dua anggota polis dari IPD Petaling Jaya dikatakan telah menahan dan mengambil sogokan dari dua lelaki warga asing.
“Satu siasatan dalaman sedang dijalankan untuk mengesahkan kejadian sebenar,” katanya menerusi satu kenyataan.
Tambah Shahrulnizam lagi, tiada mana-mana anggota yang terlibat dalam salah laku atau jenayah akan dilindungi oleh pihaknya.
2 Lelaki Ditahan Sebelum Disuruh Ke Tempat Parkir
Pada malam 31 Ogos, dua video dimuat naik ke ke akaun media sosial ‘Edisi Siasat’ menyaksikan dua lelaki yang dipercayai anggota polis bersama dua individu warga asing.
Dipercayai dua lelaki tersebut ditahan sebelum disuruh ke sebuah tempat parkir di Sungai Wei, Petaling Jaya.
Anggota Didakwa Tahan Salinan Dokumen Warga Asing
Kedua-dua video telah dirakamkan oleh seorang individu dari dalam kenderaan yang dipandunya.
Dalam satu pesanan dipercayai dihantar oleh perakam kepada pengendali akaun Edisi Siasat, dia mendakwa seorang anggota menahan salinan dokumen dua warga asing sebelum mengarahkan mereka ke lokasi lain.