Paralimpik Paris 2024: Eddy Bernard Sumbang Pingat Pertama Buat Malaysia
Dalam penampilan sulungnya itu, Eddy turut berjaya memecahkan rekod peribadi terbaiknya 11.77s sewaktu dia membawa pulang pingat perak dalam Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui pada ketika ini sedang berlangsungnya Sukan Paralimpik Paris 2024.
Dalam temasya sukan yang bermula pada 28 Ogos lalu, Malaysia telah menghantar 30 orang atlet para bagi mewakili negara dalam lapan acara yang dipertandingkan.
Eddy Bernard Sumbang Pingat Pertama Buat Malaysia
Terbaharu, atlet olahraga Eddy Bernard berjaya menyumbangkan pingat pertama buat Malaysia menerusi acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) di State de France, Paris.
Atlet yang berusia 23 tahun itu meraih pingat gangsa setelah berjaya menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 11.58 saat (s).
Pada permulaan acara, Eddy yang berada di lorong ketiga memulakan perlumbaan dengan baik namun dia kehilangan sedikit momentum sebelum berjaya melepasi garisan penamat.
Leburkan Rekod Asia & Rekod Peribadi
Apa yang lebih menarik, catatan masa Eddy dalam temasya sukan terbesar dunia itu juga berjaya memecahkan rekod Asia 11.75s milik atlet dari Sri Lanka Indika Gamage pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun.
Dalam penampilan sulungnya itu, Eddy yang berasal dari Beluran, Sabah turut berjaya memecahkan rekod peribadi terbaiknya 11.77s sewaktu dia membawa pulang pingat perak dalam kejohanan di Kobe, Jepun.
Tidak Lihat Kekurangan Sebagai Penghalang Untuk Berjaya
Dalam pada itu, Eddy menjelaskan kekurangan fizikal tidak menghalang dia untuk berjaya dalam hidup serta mengharumkan nama negara di temasya sukan terbesar dunia itu.
Walaupun dilahirkan dengan keadaan tangan dan sebahagian jari bersambung serta kaki kecil pada bahagian kanan, dia sentiasa berfikiran positif dan meletakkan dirinya mampu melakukan sama seperti manusia lain yang dilahirkan cukup sifat.
“Bila lihat orang lebih sempurna fizikalnya boleh buat, saya pun boleh. Saya selalu cuba positifkan diri saya.
“Kadang-kadang pernah rasa rendah diri namun saya cuba alih fikir benda lain dan lawan diri untuk positif, jangan fikir negatif,” katanya yang dipetik dari Bernama.
Kata-Kata Jurulatih Jadi Pembakar Semangat
Eddy yang juga merupakan anak bongsu daripada enam beradik sememangnya yakin akan menyumbang pingat pertama buat Malaysia.
Malah, dia menjelaskan nasihat dan kata-kata jurulatihnya Hamberi Mahat menjadi pendorong buat Eddy melakar kejayaan dalam karier sejak dia mewakili negara pada tahun 2017.
“Coach kata bantai, bantai dan langgar sahaja, jangan banyak fikir, fikir diri sendiri sahaja,” katanya lagi.
Eddy turut mendedikasikan kejayaannya dalam meraih pingat gangsa di Sukan Paralimpik Paris 2024 kepada keluarga, coach dan rakan-rakan atas dorongan mereka selama ini.
Dalam acara 100 meter (m) lelaki T44, pingat emas menjadi milik Mpumelelo Mhlongo yang mewakili Afrika Selatan dengan catatan masa 11.12s manakala atlet dari Cuba, Yamel Vives memenangi perak dengan catatan masa 11.20s.
Tahniah Eddy Bernard!!!!🇲🇾🔥🔥🔥🔥Kontinjen Negara mendapat hadiah paling bermakna daripada atlet Para Olahraga Eddy…
Posted by Majlis Sukan Negara Malaysia on Sunday 1 September 2024