Nelayan Dipenjara Setahun, Miliki Video Wanita Buang Air Besar
Tertuduh berusia 23 tahun itu juga didakwa mengintai, merakam dan memiliki video lucah di dalam telefon bimbit miliknya.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Semalam (2 September), seorang lelaki yang juga nelayan dijatuhi hukuman penjara selama setahun oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu, Kelantan kerana memiliki video seorang wanita sedang membuang air besar dan gambar lucah dalam telefon bimbit pada 26 Ogos lalu.
Memetik Berita Harian, tertuduh yang dikenali sebagai Muhamad Aiman Aqmal Mohammad yang berusia 23 tahun itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Rais Imran Hamid.
Pertuduhan pertama: intai, rakam dan miliki video wanita berak
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengintai, merakam dan memiliki video seorang wanita berusia 48 tahun yang sedang berak di tandas sebuah rumah dengan maksud mengaibkan mangsa di Pantai Pulau Kundur pada jam 7.07 pagi pada 31 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
Pertuduhan kedua: miliki gambar lucah di dalam telefon bimbit
Untuk pertuduhan kedua pula, Muhamad Aiman didakwa memiliki gambar lucah di dalam telefon bimbit miliknya.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 292 KK yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Kedua-dua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Jalan Kuala Besar Kampung Pulau Kundur di sini, jam 11.40 malam, pada 26 Ogos 2024.
Sementara itu, Dalam satu prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen pula, tertuduh juga didakwa melakukan amang seksual ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun ketika kejadian pada 24 Julai lalu.
Bagaimanapun, tertuduh mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nik Habri Muhamad.