China Tuntut Malaysia Henti Semua Aktiviti Di Kawasan Minyak Berhampiran Sarawak – Media Luar Negara
Laporan itu menyebut, Kementeria Luar China menuduh Malaysia menceroboh kawasan yang menjadi sebahagian daripada 9 garis putus-putus (nine-dash line).
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Malaysia sememangnya kaya dengan sumber minyak mentah dan gas asli yang dapat membantu memacu ekonomi negara.
Kawasan perairan di Sabah, Sarawak, Terengganu dan Kelantan merupakan antara negeri yang memiliki hasil petroleum ini.
Pun begitu, baru-baru ini satu laporan luar negara mendakwa China telah menuntut malaysia untuk segera menghentikan semua aktiviti di sebuah perairan yang kaya dengan hasil minyak berhampiran Sarawak.
China hantar nota bantahan kepada Kedutaan Besar Malaysia
Menurut Malaysia Now yang memetik Philippine Daily Inquirer, perkara berkenaan dikatakan terkandung dalam nota bantahan dihantar kepada Kedutaan Besar Malaysia di China pada minggu lalu.
Kementerian Luar China menuduh Malaysia menceroboh kawasan yang menjadi sebahagian daripada 9 garis putus-putus (nine-dash line), merujuk peta kontroversi diterbitkan Beijing bagi menunjukkan wilayah yang didakwa miliknya di Laut China Selatan.
China kurang senang dengan aktiviti penerokaan minyak dan gas Malaysia
Nota itu menyatakankan rasa kurang senang China terhadap aktiviti penerokaan minyak dan gas Malaysia berhampiran terumbu karang Luconia Shoals, juga dikenali sebagai Luconia Reefs.
Malaysia menamakan kawasan itu Gugusan Beting Raja Jarum, tetapi dirujuk oleh China sebagai ‘Nankang Ansha’ dan ‘Beikang Ansha’.
Bantahan Beijing itu berlaku walaupun terumbu karang itu hanya 100 km dari Sarawak, berbanding jaraknya yang hampir 2,000 km dari tanah besar China.
“Pihak China, sekali lagi, menggesa pihak Malaysia untuk sejujurnya menghormati kedaulatan wilayah dan kepentingan maritim China dan segera menghentikan aktiviti yang disebutkan di atas,” kata Kementerian Luar China dalam nota bantahan itu.
Menteri Luar Negeri belum beri sebarang kenyataan berhubung perkara itu
Setakat artikel ini ditulis, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan belum memberi sebarang kenyataan berhubung perkara itu.
Untuk info, Malaysia dan China merupakan antara tujuh negara di sekitar Laut China Selatan yang terlibat dalam pertelingkahan tuntutan wilayah, di samping Brunei, Taiwan, Indonesia, Filipina dan Vietnam.