fbpx

Harga Motosikal 150cc Ke Atas Dijangka Alami Kenaikan Harga – Penganalisis

Sebelum ini, kerajaan menetapkan semua motosikal baharu dengan enjin berkapasiti 150cc ke atas wajib memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Pada 2 September lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan semua motosikal baharu yang mempunyai enjin dengan kapasiti 150cc ke atas wajib memiliki Sistem Brek Anti-Kunci (ABS).

Penguatkuasaan yang bakal bermula 1 Januari 2025 merupakan antara inisiatif kerajaan dalam mengurang dan menangani kemalangan jalan raya yang membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal.

Jelas Ahmad Zahid, penetapan itu dibuat berdasarkan laporan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang melaporkan ABS berupaya untuk mengurangkan kemalangan maut sebanyak 31%.

Harga Motosikal Dijangka Naik Namun Tidak Semua Model Terkesan

Susulan daripada penetapan terbaharu ini, harga jualan motosikal baharu yang mempunyai kapasiti enjin 150cc dan ke atas diramal mengalami kenaikan.

Walau bagaimanapun, menurut penganalisis industri automotif Hezeri Samsuri, tidak semua model motosikal popular yang terkesan dengan kenaikan itu.

“Kenaikan harga mungkin akan berlaku kepada model-model keluaran baharu tetapi tidak akan mengalami peningkatan yang banyak.

“Saya kira kalau naik pun, dalam RM100 ke RM200 tetapi banyak model motosikal di atas 150cc sebenarnya sudah dilengkapi ABS.

“Ini bermakna tidak banyak model popular yang akan terjejas dengan kenaikan harga,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Banyak Motosikal Dah Ada Sistem ABS

Jelas Hezeri yang juga Pengarang Urusan Careta Media, usaha mewajibkan penggunaan ABS pada motosikal sebenarnya telah lama dilaksanakan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) dan kini ia diwajibkan kepada motosikal baharu dengan enjin 150cc ke atas.

Katanya, ABS amat penting dalam motosikal moden masa kini yang mempunyai enjin berkapasiti tinggi terutamanya ketika berhadapan dengan cuaca hujan.

“Apabila menempuh cuaca hujan, kejadian roda depan tergelincir sering berlaku.

“Pemasangan ABS membolehkan penunggang membrek dengan selamat walaupun sedang mengambil selekoh. Ia juga memang terbukti mampu menurunkan kadar kemalangan.

“Sistem ini lambat diperkenalkan kerana faktor harga. Dahulu, modul motosikal yang ada ABS memang mahal sedikit, tetapi dengan pertumbuhan kilang komponen merata dunia dan ia sudah menjadi kelengkapan wajib untuk banyak pasaran dunia, harganya telah turun dengan banyak,” terangnya lagi.

Apa Itu ABS?

Untuk info, ABS merupakan sistem dalam kenderaan yang membantu individu untuk kekal selamat walaupun selepas brek mengejut atau ketika jalan licin.

Sistem ini mampu membantu menahan tayar khususnya motosikal daripada terkunci ketika penunggang menekan brek secara mengejut.

Ini kerana bagi motosikal yang tidak mempunyai ABS, brek mengejut boleh menyebabkan tayar motosikal terkunci dan sukar dikawal.

Dengan sistem ABS, pengesan akan memberi isyarat kepada pam brek hidraulik untuk mengepam.

Berdasarkan laman web CHJ Motors, antara motosikal yang telah dilengkapi dengan ABS yang ada di pasaran adalah Modenas RS200 ABS, Modenas NS200 ABS, Yamaha NVX ABS dan KTM Duke 200 ABS.

Berikut kami kongsikan video bagaimana sistem ABS berfungsi pada motosikal.

Baca Artikel Berkaitan: Kerajaan Bakal Wajibkan Brek ABS Pada Motosikal 150cc Ke Atas, Kata Menteri Pengangkutan

Baca Artikel Berkaitan: Modenas Lancar Ninja 250, Ninja 250 ABS & Z250 ABS, Harga Bermula Dari RM18,900

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.