Peniaga Pasar Malam Beragama Islam Di Perlis Wajib Henti Operasi Ketika Maghrib
Menurut Exco Perlis, peraturan itu selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis pada 21 Ogos lalu yang bersetuju melaksanakan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Pasar malam merupakan sebuah perniagaan berkonsepkan bazar yang bermula pada lewat petang sehingga malam dan ia sememangnya tidak asing lagi di Malaysia.
Boleh dikatakan di setiap kawasan dan negeri pasti ada pasar malam yang akan diadakan seminggu sekali.
Bagaimanapun, di Perlis, berkuat kuasa 15 September ini, semua peniaga pasar malam yang beragama Islam wajib menghentikan operasi perniagaan mereka ketika waktu Maghrib.
Operasi perniagaan dihentikan selama 20 minit
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pembangunan Sumber Manusia dan Pembasmian Kemiskinan Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, operasi dihentikan selama 20 minit termasuk 10 minit sebelum masuk waktu Maghrib.
Menerusi hantaran yang dimuat di akaun Facebook miliknya, Asrul berkata peraturan ini dilakukan bagi membolehkan peniaga dan pengunjung menunaikan solat dalam keadaan selesa dan tidak tergesa-gesa.
Menurutnya, peraturan itu juga selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis pada 21 Ogos lalu yang bersetuju melaksanakan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’.
Anggota PBT akan turun padang beri nasihat dan teguran buat permulaan ini
Jelasnya, buat permulaan ini, anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) akan turun padang bagi memastikan kejayaan program ‘Berhenti Dulu Kita Solat’ dengan memberi nasihat dan teguran.
“Ini antara inisiatif memperkasakan kempen Hayya Ala-Solah’ yang mana melalui program ini, peniaga pasar malam diwajibkan memberhentikan operasi perniagaan ketika Maghrib bagi menghormati waktu solat,” katanya..
Solat boleh dilaksanakan di masjid, surau atau mana-mana kawasan yang sesuai
Menurutnya lagi, solat boleh dilaksanakan di masjid atau surau berdekatan atau di lokasi disediakan pihak penganjur tapak pasar malam selain mana-mana kawasan dirasakan sesuai oleh peniaga.
“Bagi sebahagian kecil peniaga bukan Islam, mereka turut digalakkan menutup perniagaan sepanjang tempoh berkenaan, namun tiada sebarang halangan jika mereka mahu meneruskan aktiviti perniagaan.
“Inisiatif ini juga bertujuan menggalakkan pengunjung pasar malam yang beragama Islam supaya tidak membeli ketika masuknya waktu solat Maghrib selain mendidik rakyat menunaikan solat pada awal waktu dan tidak melengah-lengahkan solat,” katanya lagi.