Kanak-Kanak 10 Tahun Pandu Kereta Terbabas Sebelum Langgar Van
Kanak-kanak berusia 10 tahun yang memandu Toyota Corolla itu dilaporkan terbabas ketika melalui selekoh dan berlanggar dengan sebuah van yang diparkir di bahu jalan.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Umum mengetahui untuk melayakkan seseorang memiliki lesen memandu, individu berkenaan perlu berusia 18 tahun ke atas serta lulus dalam beberapa ujian yang ditetapkan.
Oleh itu, mana-mana individu yang memandu bawah umur 18 tahun serta tidak mempunyai lesen yang sah boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Kanak-kanak 10 tahun terbabas pandu kereta
Terbaharu, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun turut melakukan perkara sama apabila bertindak memandu kereta jenis Toyota Corolla milik keluarganya sehingga terbabas melanggar kenderaan yang diparkir di bahu jalan.
Insiden tersebut dilaporkan berlaku pada 9.30 malam, kelmarin (3 September) di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian, Seremban, Negeri Sembilan.
Bawa rakan berusia 9 tahun, langgar kenderaan parkir di bahu jalan
Jelas Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din kanak-kanak berkenaan bersama rakannya yang berusia 9 tahun dilaporkan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Toyota Corolla dipandu oleh kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bersama kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun yang merupakan jirannya. Kereta itu dipandu dari arah Apartment Arowana Impian menuju ke atah Taman Arowana Impian.
“Apabila sampai di tempat kejadian pemandu terbabas semasa melalui selekoh dan berlanggar dengan sebuah van jenis toyota yang diparkir di bahu kiri jalan.
“Kemudian van tersebut menggelongsor ke hadapan dan terlanggar kereta Perodua Kancil yang diparkir di hadapannya,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Kes disiasat di bawah Akta Pengangkutan Jalan
Kes disiasat mengikut Seksyen 391(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Seksyen 111 Akta Sama, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Pihak polis menasihatkan kepada semua pihak untuk mematuhi peraturan jalan raya dan ibu bapa mahupun penjaga perlu memerhati serta memantau tindakan anak-anak di bawah jagaan bagi mengelakkan sebarang perkara tak diingini daripada berlaku.
Tindakan tegas akan diambil kepada pemandu yang melakukan kesalah dan jika pesalah adalah kanak-kanak, ibu bapa atau penjaga juga akan diambil tindakan.
Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat mengenai insiden tersebut boleh berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes iaitu Inspektor Sudesh Kumar di talian 016 483 0853 atau boleh terus ke mana-mana balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.