fbpx

Kuala Lumpur Kekal Selamat, Insiden Tanah Jerlus Kes Terpencil – Nga Kor Ming

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur meminta orang ramai agar tidak mendekati kawasan sekitar Jalan Masjid India berikutan kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan.

Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami

Walaupun telah hampir dua minggu berlalu, kejadian tanah jerlus yang berlaku di Jalan Masjid India berhampiran Malayan Mansion masih lagi meninggalkan kesannya sehingga kini.

Ini kerana wanita yang berasal dari India, Vijaya Lakshmi yang hilang selepas terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter tidak dapat ditemui meskipun operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah dihentikan pada 31 Ogos lalu.

Insiden ini sememangnya menimbulkan kerisauan sesetengah pihak lebih-lebih lagi selepas timbulnya khabar angin yang mendakwa ibu negara Malaysia itu dibina di atas gua kosong.

Dakwaan itu bagaimanapun dinafikan oleh banyak pihak khususnya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pakar geologi.

Malah, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini turut memberi jaminan bahawa Kuala Lumpur masih selamat untuk dikunjungi.

Baca Artikel Berkaitan: Tanah Mendap: PM Beri Jaminan Kuala Lumpur Masih Selamat Untuk Dikunjungi

Mohon Jangan Jadikan Kejadian Tanah Jerlus Indikator KL Tidak Selamat

Terbaharu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming, menjelaskan insiden tanah mendap yang berlaku baru-baru ini merupakan kes terpencil dan tidak sepatutnya dijadikan sebagai indikator KL tidak selamat untuk dihuni.

Tegasnya, Kuala Lumpur dan bandar raya utama lain di Malaysia masih kekal selamat untuk dikunjungi dan didiami.

“Semua negeri di Malaysia ada melakukan pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah di ibu negara. Bukan sahaja Kuala Lumpur tetapi juga di Johor, Perak dan lain-lain.

“Kesemua kerja pemetaan ini memang dijalankan sepanjang masa secara berfasa.

“Langkah itu penting bagi memastikan Malaysia dan Kuala Lumpur selamat. Jangan kerana ‘isolated case’ seolah-olah negara kita tidak selamat didiami, itu tidak betul,” katanya yang dipetik daripada Kosmo

Laksana Pemetaan Utiliti & Kajian Struktur Tanah

Tambah Nga lagi, pelaksaan pemetaan utiliti dan kajian struktur tanah turut dibuat di ibu negara melibatkan kediaman bertingkat atau strata.

“Apabila pakar dah sahkan selamat, baru boleh bagi perintah pembangunan. Struktur bangunan kita memang selamat kerana kita mempunyai standard yang tinggi,” jelasnya.

Polis Tempatkan Pegawai & Anggota Di Lokasi Kejadian

Dalam pada itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa meminta orang ramai agar tidak mendekati kawasan sekitar Jalan Masjid India berikutan kerja-kerja pemulihan sedang dijalankan.

Jelas Rusdi, beberapa pegawai dan anggota telah ditempatkan di kawasan tersebut bagi memantau keselamatan sekitar lokasi tanah mendap berkenaan.

“Tangggungjawab polis adalah untuk melakukan kawalan keselamatan, jadi kita tidak mahu orang ramai meninjau atau membuat kandungan di media sosial di lokasi itu.

“Kehadiran anggota polis bagi mengawal sekitar lokasi tanah jerlus. Kesan daripada tanah jerlus itu dalam kira-kira lapan hingga 10 meter, kita tidak mahu apa-apa terjadi di kawasan berkenaan,” katanya yang dipetik daripada Kosmo.

Jangan Turun Tinjau & Buat Konten TikTok

Rusdi turut menegaskan agar orang ramai tidak turun untuk meninjau lokasi kejadian bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku.

“Bukan setakat lubang itu (tanah jerlus), ada lagi lubang kedua (mendapan 50 meter dari lokasi) serta saluran panjang akan diperiksa.

“Kita juga tidak mahu orang ramai pergi tinjau dan buat TikTok. Lebih baik saya arahkan Ketua Polis Daerah (KPD) Dang Wangi untuk tempatkan anggota di situ,” jelasnya.

Baca Artikel Berkaitan: Belum Masanya Wartakan Jalan Masjid India Sebagai Zon Tidak Selamat, Kata Ketua Polis Negara

Baca Artikel Berkaitan: Presiden IGM Dedah Gua-Gua Kecil Di Dasar KL Tak Seteruk Yang Diperkatakan

View Comments (0)

Leave a Reply

© 2022 BuzzKini. All Rights Reserved.