Malaysia Tak Akan Berhenti Teroka Minyak & Gas Di Laut China Selatan Walau Dibantah China – PM
Menurut Anwar Ibrahim, Malaysia mempunyai polisi dan prinsip yang ketat untuk tidak menceroboh masuk ke kawasan negara lain.
Dapatkan isu trending dan berita terhangat menerusi telegram kami! Follow Kami
Baru-baru ini, kecoh berhubung satu laporan dari media luar negara yang mendakwa China telah menuntut Malaysia untuk segera menghentikan semua aktiviti di sebuah perairan yang kaya dengan hasil minyak berhampiran Sarawak.
Memetik Philippine Daily Inquirer, perkara berkenaan dikatakan terkandung dalam nota bantahan dihantar kepada Kedutaan Besar Malaysia di China pada minggu lalu.
Dalam nota tersebut, Kementerian Luar China menuduh Malaysia menceroboh kawasan yang menjadi sebahagian daripada 9 garis putus-putus (nine-dash line) yang merujuk kepada peta kontroversi diterbitkan Beijing sebelum ini bagi menunjukkan wilayah yang didakwa milik mereka di Laut China Selatan.
Baca Artikel Berkaitan: China Tuntut Malaysia Henti Semua Aktiviti Di Kawasan Minyak Berhampiran Sarawak – Media Luar Negara
PM tegaskan Malaysia akan terus meneroka walaupun dibantah China
Terbaharu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menghentikan operasi meneroka kawasan yang berpontensi mempunyai minyak dan gas di Laut China Selatan, meskipun wujud bantahan dari China yang kononnya negara ini telah melepasi sempadan yang dibenarkan.
Menurutnya, operasi itu dilakukan di dalam kawasan perairan negara dan Malaysia tidak membuat sebarang provokasi.
Malaysia terbuka untuk berbincang
“Mengenai kawasan tersebut yang dibantah oleh China, kita menegaskan ini adalah kawasan kita, tetapi kita terbuka untuk berbincang.
“Tetapi penerokaan minyak ini dalam kawasan perairan kita. Kita mungkin akan memberi respons kepada China, menerangkan kedudukan kita, tetapi kita bukan melakukan tindakan provokasi.
“Kita perlu meneruskan penerokaan di perairan kita dan menjamin kelebihan kita, termasuk operasi mencari gali dalam kawasan kita sendiri. Beijing hantar nota bantahan kerana dia rasa itu kawasan dia.
“Tetapi kita kena teruskan operasi ini kerana ini adalah berkaitan kelangsungan ekonomi kita,” tegasnya lagi,” katanya dipetik Sinar Harian.
Anwar berkata demikian di sidang media Malaysia semasa lawatan kerja dua hari beliau di Vladivostok, Rusia di atas jemputan Presiden Vladimir Putin sempena Forum Ekonomi Timur (EEF) ke-9 anjuran Yayasan Roscongress.
Malaysia ada polisi dan prinsip tak akan ceroboh masuk kawasan negara lain
Dalam pada itu, beliau berkata Malaysia mempunyai polisi dan prinsip yang ketat untuk tidak menceroboh masuk ke kawasan negara lain.
“Mereka (China) tahu kedudukan kita. Mereka dakwa kita menceroboh masuk kawasan mereka. Kita kata tidak, itu kawasan kita. Tetapi jika mereka terus tidak puas hati, maka okay, kita akan mendengar, dan mereka juga perlu bersedia mendengar,” katanya lagi.
Terdahulu, Wisma Putra menegaskan kebocoran maklumat mengenai nota diplomatik itu akan disiasat secara rapi memandangkan ia mengandungi maklumat kerahsiaan dan kedaulatan negara-negara.
PRESS RELEASE: LEAK OF CLASSIFIED INFORMATION RELATED TO A DIPLOMATIC NOTE pic.twitter.com/EEJb0J8mzm
— Wisma Putra (@MalaysiaMFA) September 4, 2024